Jumaat, 15 Ogos 2014 | 12:35pm

Ekonomi berkembang 6.3 peratus separuh pertama 2014

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 6.4 peratus pada suku kedua tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran, didorong pengukuhan eksport di luar jangkaan dan permintaan dalam negeri yang memberangsangkan.

Pada suku pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 6.2 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata prestasi mantap ekonomi negara pada suku pertama dan kedua menjadikan pertumbuhan enam bulan pertama tahun ini sebanyak 6.3 peratus.

"Mengambil kira prestasi ekonomi yang sangat memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini, kerajaan akan menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi seluruh tahun 2014 pada pembentangan Belanjawan 2015 pada Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengumumkan data KDNK negara bagi suku kedua dan separuh pertama di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober ini.

Ahli ekonomi sebelum ini mengunjurkan ekonomi akan berkembang pada kadar lebih perlahan antara 5.8 peratus hingga 6 peratus pada suku kedua kerana lebihan dagangan yang mengecil pada suku kedua dan pengguna mengurangkan perbelanjaan kerana peningkatan kos sara hidup.

Lebihan akaun semasa jatuh kepada RM16 bilion pada suku kedua daripada RM19.8 bilion pada suku pertama tahun ini kerana import menyederhana tetapi eksport kekal kukuh.

Berita Harian X