Khamis, 18 September 2014 | 1:06pm

Amazon tambah barisan produk Kindle

NEW YORK: Amazon.com Inc (Amazon), syarikat e-dagang global, memperkukuhkan pembabitan dalam segmen perkakasan menerusi pengenalan enam peranti baharu atau dinaik taraf termasuk satu tablet e-baca Kindle Voyage berharga AS$199 (RM644) dan melancarkan tablet skrin sentuh termurah pernah dijual.

Peruncit dalam talian nombor satu di Amerika Syarikat (AS) itu juga merombak aplikasi asas Kindle e-baca yang merangkumi ciri skrin sentuh. Ia dijual dengan harga AS$79 (RM256) iaitu kira-kira 15 peratus lebih mahal berbanding model sedia ada.

Peranti baharu lain yang dilancarkan adalah tablet Kindle Fire HD berharga AS$99 (RM320) yang dilengkapi skrin bersaiz enam inci dan satu tablet khusus untuk kanak-kanak berharga AS$149 (RM482). Amazon juga menaik taraf tablet Kindle Fire HD tujuh inci dan 8.9 inci.

Semua peranti baharu yang dinaik taraf dijadual memulakan penghantaran pada Oktober ini.

Perkembangan dalam peranti Kindle menunjukkan komitmen Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos bagi membangunkan peranti sebagai satu cara untuk mengekalkan pengguna sedia ada dan meningkatkan perniagaan terasnya iaitu peruncitan dan beli-belah.

Tahun ini saja, Amazon sudah melancarkan set-top box, peranti pesanan runcit dan telefon pintar Fire yang dilancarkan Julai lalu tetapi tidak begitu menarik minat pengulas gajet.

Amazon yang memasuki sektor perkakasan dengan pelancaran Kindle pada 2007 menerima pakai strategi menjual peranti harga rendah dan memperoleh keuntungan apabila pengguna membeli kandungan atau barangan. - Reuters

Berita Harian X