Jumaat, 26 Jun 2015 | 10:02am

Sentimen negatif dorong saham KL dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan prestasi lemah Wall Street, berikutan sentimen negatif mengenai isu pembayaran hutang Greece, kata wakil peniaga.

Sepuluh minit selepas pembukaan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.04 mata pada 1,714.77 selepas dibuka rendah 0.17 mata pada 1,716.64.

Alliance DBS Research berkata indeks penanda aras susut ketara sehingga mencecah paras terendah harian pada 1,716.81 mata dan pasaran masuk fasa jualan.

Mengikut firma penyelidikan itu, FBM KLCI dijangka terus tertekan dan bakal menguji paras terendah baharu dengan paras sokongan berikutnya pada 1,700 dan 1,706 manakala paras rintangan meningkat pada 1,735.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas jatuh 1.29 mata kepada 11,885.58, Indeks FBMT100 susut 3.32 mata kepada 11,560.06, Indeks FBM Emas Syariah naik 12.25 mata kepada 12,344.44, FBM ACE naik 4.31 mata kepada 6,412.67 manakala FBM70 naik 34.99 mata kepada 13,013.14.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 117 berbanding 98 manakala 127 kaunter tidak berubah, 1,496 tidak diniagakan dan 48 digantung. Jumlah dagangan sebanyak 68.18 juta saham bernilai RM28.64 juta.

Antara kaunter aktif termasuk Frontken yang naik lima sen kepada 26 sen manakala AirAsia X, Sanichi dan IFCA MSC tidak berubah, masing-masing pada 22.5 sen, lapan sen dan RM1.19 seunit. - BERNAMA

Berita Harian X