Isnin, 22 Jun 2015 | 5:14pm

Malaysia masih perlu tangani pelbagai cabaran demi kesejahteraan rakyat


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia masih perlu menangani pelbagai cabaran luaran dan dalaman demi keselesaan hidup dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, antara cabaran itu adalah ketidaktentuan persekitaran ekonomi global, pertumbuhan produktiviti perlahan, ruang fiskal yang terhad, pampasan pekerja yang rendah dan jurang pendapatan isi rumah.

Sehubungan itu, katanya, strategi ekonomi makro dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan menumpukan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi bagi memastikan kemampanan pertumbuhan dan mempergiat pelaburan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Selain itu negara juga akan meningkatkan eksport bagi memperkukuh imbangan dagangan, mempertingkatkan fleksibiliti fiskal dan menggalakkan peningkatan produktiviti," katanya semasa membentangkan usul RMK-11 di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam semua aspek pembangunan, meskipun tidak dinafikan masih terdapat sebilangan rakyat yang belum mendapat faedah sepenuhnya daripada limpahan kemakmuran ekonomi negara.

Abdul Wahid berkata, 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' sebagai tema RMK-11 adalah cerminan keprihatinan kerajaan untuk memastikan faedah pembangunan ekonomi dinikmati oleh semua golongan dan tiada sesiapa yang dipinggirkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Mei lalu membentangkan RMK-11 di Dewan Rakyat.

Enam teras RMK-11 akan dilaksanakan berasaskan enam teras strategi dan enam pemacu perubahan serta peruntukan yang diperlukan bagi mencapai matlamat sebuah negara maju dan inklusif pada 2020.

Enam strategi berkenaan ialah inklusiviti, kesejahteraan rakyat, modal insan, pertumbuhan hijau, infrastruktur serta inovasi dan produktiviti.

Enam pemacu perubahan yang digariskan untuk memastikan kejayaan kesemua strategi itu ialah meningkatkan produktiviti, menjana kekayaan melalui inovasi, mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah, menteraskan pendidikan dan latihan teknikal (TVET), melaksana pertumbuhan hijau dan melabur di bandar-bandar berdaya saing.

Abdul Wahid berkata, RMK-11 adalah rancangan strategi jangka sederhana negara yang terakhir sebelum negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mampan.

"Banyak inisiatif RMK-11 tertumpu kepada peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan isi rumah dan peningkatan taraf kehidupan yang lebih selesa.

"Kami sedar bahawa sasaran yang ditetapkan adalah tinggi. Namun saya percaya, berdasarkan pencapaian kita selama ini dan dengan usaha dan sokongan padu daripada semua rakyat, insya-Allah kita akan berjaya," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Abdul Wahid berkata walaupun ekonomi dunia agak mencabar sepanjang pelaksanaan RMK-10, negara masih mampu mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3 peratus setahun.

"Jadi, kita mengambil kira sasaran kita dalam lima tahun akan datang ini. Memang kita sedar bahawa landskapnya berbeza, tapi kita akan berusaha lebih gigih untuk mencapai sasaran lebih baik," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X