Isnin, 22 Jun 2015 | 12:15am

Nasib labu Sayong tradisional


KUALA KANGSAR: Labu Sayong cukup sinonim dengan Kuala Kangsar kerana di kawasan Sayong, lebih tepat lagi di Kampung Kepala Bendang, Sayong, warisan tradisi pembuatannya berkembang sehingga ia dikomersialkan dan kini dikenali di seluruh pelusuk tanah air.

Bermula dengan pembuatan secara tradisional menggunakan sepenuhnya kemahiran tangan, permintaan yang tinggi dan menggalakkan akhirnya memaksa pengusaha beralih ke kaedah pembuatan moden yang lebih cepat.

Namun apa yang menyedihkan, perkembangan teknologi dalam penghasilan labu Sayong mengakibatkan teknik pembuatan asal labu Sayong menggunakan sepenuhnya kemahiran tangan kini semakin hilang dan dilupakan.

Malah rata-rata pengusaha labu Sayong juga tidak mempunyai kemahiran dalam menghasilkan labu menggunakan kaedah tradisional. Antara alasan yang diberikan adalah kekangan masa, penghasilan tidak produktif, tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan, menjimatkan masa serta penghasilannya mudah dan tidak rumit.


LABU Sayong cukup sinonim dengan Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya

Maznah Sulaiman, 56, antara pengusaha labu tradisional di Kampung Kepala Bendang yang masih tinggal dan mengekalkan kaedah pembuatan labu Sayong secara tradisional meskipun puluhan pengusaha di sekelilingnya sudah beralih kepada kaedah moden yang lebih menguntungkan.

Prinsip yang dipegang Maznah hanya satu - jika tiada yang mahu meneruskan tradisi ini, ia akan mati. Meskipun penghasilan labu yang dibuat menggunakan kaedah tradisional adalah terhad, namun dia tetap akan mengekalkannya.

"Saya sudah berkecimpung dengan kaedah pembuatan labu sejak berusia enam tahun, kini sudah hampir 50 tahun saya bergelumang dengan kaedah pembuatan labu secara tradisional.

"Kaedah ini memerlukan kesabaran dan ketelitian, sebab itu ramai yang tidak mahu meneruskan kerana tidak sabar dengan proses penghasilannya yang agak rumit jika tidak sabar.

"Tetapi bila kita sudah mula menguasai rentak, ia sangat mengasyikkan dan kita lama-kelamaan seronok untuk menyiapkannya lebih-lebih lagi bila kita lihat hasilnya selepas siap, sebab itulah selagi saya ada kudrat, saya akan terus menghasilkan labu Sayong secara tradisional dan kaedah yang diwarisi turun temurun ini tidak dilupakan," katanya.


MAZNAH membuat labu Sayong tradisional menggunakan tangan. - Foto Muhaizan Yahya

Bagaimanapun, ditanya masa depan kaedah pembuatan tradisional, Maznah seakan kelu dan jauh di sudut hati dia mahukan sesuatu dilakukan bagi memastikan warisan itu kekal dan tidak mati begitu sahaja.

Katanya, di Kampung Kepala Bendang yang cukup sinonim dengan kawasan perusahaan labu Sayong pun, bilangan pengusaha yang tahu membuat labu secara tradisional semakin lama semakin berkurang kerana ramai yang meninggal dunia dan sudah tidak berdaya meneruskan tradisi kerana terlalu uzur.

"Setakat yang saya tahu, kini tinggal saya seorang, di kawasan lain saya tidak tahu, tetapi di sini (Kampung Kepala Bendang) sudah tiada pengusaha tradisional. Malah anak bongsu saya yang turut mengikut jejak langkah terbabit secara langsung dalam industri pembuatan labu, tidak pandai menghasilkan labu tradisional sebaliknya menggunakan teknik moden yang lebih menguntungkan.

"Jika saya sudah tiada, saya khuatir kemahiran ini akan terus lenyap bersama, ramai yang tidak berminat mempelajari teknik tradisional kerana ia bagi mereka leceh dan tidak produktif.

"Bagi saya selagi ada kudrat, selagi itu saya akan terus menghasilkan labu Sayong, biarlah apa pun yang orang mahu kata, seni dan warisan tradisi ini tetap akan saya pertahankan selagi nyawa dikandung badan," katanya.


PEMBUATAN secara tradisional menggunakan tangan. - Foto Muhaizan Yahya

Katanya, bukannya dia tidak pernah mencuba untuk menghasilkan labu menggunakan kaedah acuan sebagaimana dilakukan anaknya yang mampu menghasilkan kuantiti labu yang banyak dan lebih cepat, tapi dia tidak seronok.

Maznah berkata, ditambah pula dengan saiz acu labu yang berat, dia juga bimbang jika sudah seronok menghasilkan labu menggunakan acuan, dia akan meninggalkan tradisi turun temurun yang sudah diwarisi.

"Kita nak mempelajari dan mendapat kemahiran bukannya mudah, saya bimbang jika kemahiran itu tidak diteruskan dan diasah lama-kelamaan ia akan terus hilang, dan akhirnya tiada lagi yang mampu menghasilkan labu tangan dan ia hanya jadi rujukan di arkib dan muzium sahaja, saya tak mahu itu berlaku," katanya.


MAZNAH menapis tanah liat yang dihancurkan sebelum membuat labu Sayong tradisional menggunakan tangan. - Foto Muhaizan Yahya

FAKTA

Perbezaan kaedah pembuatan labu tradisional dan moden

Tradisional

  • Tanah diambil dari tebing sungai.
  • Tanah yang diambil kemudian dijemur sehingga kering.
  • Tanah kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung kaki.
  • Selepas ditumbuk tanah kemudian diayak dan diasingkan.
  • Selepas mendapat tanah yang kering ia kemudian dibancuh bagi menghasilkan doh sebelum dibentuk menjadi labu.
  • Labu yang kemudian dijemur dan sebaik kering dibakar dalam ketuhar sehingga sembilan jam (kaedah membakar juga digunakan bagi penghasilan labu moden) ia kemudian dikambus dalam serkam kayu atau serkam padi bagi menghasil warna kehitam-hitaman.

 

Moden

  • Tanah diambil dari tebing sungai.
  • Tanah kemudian dibancuh dalam mesin bancuhan dan ditapis bagi mengasingkan bendasing.
  • Bancuhan tanah yang sudah ditapis kemudian dituang ke dalam acuan dan dibiarkan membeku dan lebihan bancuhan dituang semula.
  • Sebaik bancuhan kering, acuan dibuka dan labu yang dikeluarkan dibiarkan keras sebelum dirapikan dan dijemur semula sebelum dibakar.
Berita Harian X