Ahad, 21 Jun 2015 | 6:50pm

Ikan lumba-lumba mati terdampar di Tanjung Serai


PEMBANTU Perikanan, Chandra Mohan, 26, (kiri) mengambil sampel kulit ikan lumba-lumba jantan yang mati terdampar di tepi pantai Tanjung Serai, petang semalam. - Foto Rasul Azli Samad

ALOR GAJAH: Seekor ikan lumba-lumba seberat kira-kira 100 kilogram ditemui mati terdampar di tepi pantai Tanjung Serai, di sini, petang semalam.

Terdapat kesan kesan luka di bahagian mulut serta lebam di bahagian bawah sirip kanan pada bangkai ikan lumba-lumba sepanjang 2.13 meter dengan ukur lilit 1.46 meter daripada spesies yang jarang ditemui itu.

Bangkai ikan itu ditemui seorang pengusaha chalet berhampiran yang membawanya ke Pusat Pengurusan dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikatan Negeri Melaka, Mohd Azam Jusoh, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai penemuan bangkai ikan itu pada jam 6 petang sebelum segera ke lokasi kejadian bersama empat anggota.

Beliau percaya ikan lumba-lumba daripada spesies terancam itu juga sudah beberapa hari tidak makan berdasarkan kesan luka pada bahagian mulutnya akibat ulser.

"Sebaik tiba kita dapati ikan lumba-lumba ini sudah mati kurang daripada tempoh 24 jam berdasarkan kepada bentuk fizikalnya.

"Selain terdapat luka di bahagian mulut dan bengkak di bawah sirip kanan, sebahagian kulit ikan juga mula mengelupas," katanya.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama ikan lumba-lumba ditemui mati terdampar di perairan Selat Melaka sejak 1998.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa sampel kecil pada bahagian sirip ikan lumba-lumba itu untuk tujuan penyelidikan di makmal Pusat Penyu Dan Ekosistem Marin, Rantau Abang, Terengganu.

"Bangkai ikan ini akan segera ditanam kira-kira enam minggu, sebelum akan menggali semula untuk mengambil tulangnya bagi tujuan pameran," katanya

Berita Harian X