Sabtu, 20 Jun 2015 | 12:02am
KAFETERIA antara kemudahan yang terdapat di Rumah Terbalik dan 3D Wonders Museum di Tamparuli. - Foto Izhari Ariffin
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar di Rumah Terbalik dan 3D Wonders Museum di Tamparuli. - Foto Izhari Ariffin
PINTU masuk utama yang dipancarkan cahaya pada batang buluh antara tarikan utama pengunjung di 3D Wonders Museum dan Rumah Terbalik Tampaluri. - Foto Izhari Ariffin
KEUNIKAN yang terdapat di 3D Wonders Museum. - Foto Izhari Ariffin.

Keunikan di Rumah Terbalik Tamparuli


DIILHAMKAN dari sebuah rumah di Kota Belud, Rumah Terbalik Tamparuli ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan Asia serta yang kelima di dunia. - Foto Izhari Ariffin

JIKA ke Tuaran, Sabah, tidak lengkap pengembaraan andai tidak mengunjungi Rumah Terbalik Tamparuli. Sejak dibuka pada Februari 2012, Rumah Terbalik Tamparuli menjadi lokasi utama pilihan pelancong tempatan mahupun luar negara jika berkunjung ke Sabah.

Diilhamkan dari sebuah rumah di Kota Belud, Rumah Terbalik Tamparuli ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan Asia serta yang kelima di dunia.

Semua kelengkapan di rumah itu seperti televisyen, sofa, peti ais, meja makan, katil, tilam dan kipas, dalam kedudukan terbalik.

Bukan itu saja, di luar rumah juga ada taman, tandas serta kereta terbalik yang cukup mengujakan pengunjung untuk bergambar kenangan.


PENGARAH Urusan Trekkers Lodge Sdn Bhd, Alexander Yee. - Foto Izhari Ariffin.

Pemilik Rumah Terbalik Tamparuli, Alexander Yee, berkata pihaknya kini menambah tarikan di lokasi pelancong itu, dengan mewujudkan 3D Wonders Museum bersebelahan rumah unik berkenaan.

Sekali pandang, semua lukisan dipamerkan di muzium itu umpama tiada bezanya dengan lukisan catan pelbagai motif yang menghiasi hampir keseluruhan dinding dan lantai muzium setingkat itu.

Bagaimanapun, kebijaksanaan pelukis menghasilkan lukisan tiga dimensi (3D) menggunakan kesan helah minda, bayang dan sudut pandang memberi kesan objek yang dilukis itu kelihatan hidup dan seseorang yang melihatnya seolah-olah berada dalam lukisan berkenaan.

pqc


LUKISAN yang terdapat di 3D Wonders Museum sungguh unik dan realistik. - Foto Izhari Ariffin

Kecantikan serta keunikan pada lukisan 3D pasti menarik pandangan individu selain membuatkan penggemar karya seni itu lebih teruja menghayati setiap hasil yang dipamerkan.

3D Wonders Museum mempamerkan 28 lukisan 3D bersaiz besar dan lebih mengetengahkan konsep pengembaraan di beberapa lokasi menarik sekitar Sabah, sekali gus membezakan muzium itu dengan galeri 3D sedia ada.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, 3D Wonder Museum adalah satu lagi tarikan terbaharu di daerah yang turut terkenal dengan jambatan Tamparuli itu.


PENGUNJUNG berpeluang merasai aksi cemas pada lukisan Bunga Rafflesia ketika berkunjung 3D Wonders Museum. - Foto Izhari Ariffin.

Terbahagi kepada tiga bahagian utama, pengunjung boleh menerokai zon pemuliharaan, kebudayaan tempatan serta flora dan fauna.

Antara lukisan yang dipamerkan di muzium itu adalah lukisan perkampungan nelayan Bajau Samah di Kota Belud, kuda Bajau dan tarian Magunatip, yang terkenal dalam kalangan masyarakat Murut.

Yee berkata, menerusi 3D Wonders Museum, orang ramai boleh merasai sendiri kehidupan dan kebudayaan beberapa suku kaum di Sabah.

"Berdasarkan lukisan ini, kita menekan langkah pemuliharaan alam sekitar seperti tidak melakukan pencemaran alam, pembunuhan dan perdagangan haiwan yang diancam kepupusan.


PENGUNJUNG Violet Chak berpeluang aksi berkayak ketika berada di 3D Wonders Museum. - Foto Izhari Ariffin.

"Setiap lukisan turut disertakan dengan penerangan agar pengunjung lebih memahami situasi sebenar yang diketengahkan," katanya.

Yee berkata, beliau dan pasukannya memerlukan masa 10 bulan menyiapkan keseluruhan muzium, termasuk pengubahsuaian bangunan kedai cenderamata sedia ada kepada bangunan menempatkan 3D Wonders Museum.

"Proses penyelidikan dan pemilihan subjek yang diketengahkan mengambil masa panjang kerana kita tidak mahu lukisan dihasilkan tidak mengikut tema. Kita guna kepakaran empat pelukis dari Singapura dan China bagi menghasilkan semua lukisan 3D di sini dengan kos RM250,000," katanya.


RUMAH Terbalik dan 3D Wonders Museum di Tampaluri menjadi tumpuan pelancong. - Foto Izhari Ariffin

 

INFO: 3D Wonders Museum

  • Terletak di Rumah Terbalik Tamparuli
  • Kira-kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu
  • Memiliki 28 lukisan 3D bersaiz besar
  • Bayaran masuk RM24.40 bagi dewasa dan RM15.90 untuk kanak-kanak
  •  

Berita Harian X