Rabu, 17 Jun 2015 | 4:56pm

Polis tahan lelaki amuk guna pedang samurai

KAPAL tangki MT Orkim Harmony. - Foto TLDM

MELAKA: Polis Melaka semalam menahan seorang lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai di sebuah stesen minyak di Semabok di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar, berkata penganggur berusia 32 tahun itu mengamuk pada Isnin lalu dipercayai mahu mencari seseorang dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.

Beliau berkata, lelaki berasal dari Merlimau, Jasin dekat sini meninggalkan stesen minyak berkenaan beberapa minit kemudian tanpa mencederakan sesiapa dan ditahan polis di sebuah rumah di Sungai Rambai, Jasin kira-kira 3.30 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod lampau dadah. Motif suspek mengamuk dan dari mana pedang berkenan diperolehi masih disiasat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pedang samurai sepanjang kira-kira tiga kaki; sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian amuk berkenaan; dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.

- BERNAMA

Berita Harian X