Ahad, 14 Jun 2015 | 12:00am

Penulis syok sendiri


PENGARANG buku Empunya Hikayat, Zainal Rashid Ahmad (kiri) memperkatakan mengenai buku kumpulan cerpen terbaharunya pada majlis Kata Pengarang, Kata Pembaca Buku Empunya Hikayat, di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa di Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

RUNGUTAN demi rungutan dalam kalangan editor yang buntu kerana menerima lambakan karya tidak bermutu membawa kepada persoalan yang lebih besar sama ada program penataran bakat atau bengkel penulisan sedia ada gagal mencapai matlamatnya untuk melahirkan pelapis penulis yang mampu melahirkan karya berkualiti.

Penulis mapan, Zainal Rashid Ahmad melihat rungutan editor akan terus berlanjutan sekiranya tidak ada usaha tuntas dilakukan bagi menambah baik kandungan dalam bengkel penulisan yang bukan hanya tertumpu kepada teori, sebaliknya mempelbagaikan mekanisme pengajaran terutama teknik berfikir secara kreatif.

"Saya cadangkan persatuan penulis seperti Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bekerjasama dengan akhbar seperti BH untuk melaksanakan bengkel yang menumpukan kepada pengajaran teknik berfikir terutama bagaimana nak melahirkan idea dan latar cerita yang baik.


DIALOG Orang Muda di Rumah Pena Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

"Orang muda hari ini sibuk dengan dunia siber hingga mereka tidak tahu acuan yang betul untuk berkarya, jadi kalangan mereka ini perlu didedahkan dengan acuan yang betul dengan membawa pembimbing berkaliber seperti penulis besar, termasuk penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) dan Zainal Palet (Zaen Kasturi)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Dialog Orang Muda (DOM) yang mempertemukan dua editor penerbitan sastera perdana iaitu BH diwakili Editor Sastera, Mohd Nazmi Yaakub dan Editor Majalah Dewan Sastera (DS), Mohd Fadli al-Akiti dalam sesi yang dimudahcarakan penulis, Muhammad Luthfi Ishak.

DOM yang tampil dengan tajuk Dialog Bersama Editor dianjurkan oleh Biro Penulis Muda PENA bertempat di Rumah PENA.

Sementara itu, panel DOM turut menegur sikap sesetengah penulis yang tidak boleh menerima kritikan dan enggan menerima kenyataan karya yang dihantar tidak layak untuk disiarkan.

Mohd Fadli berkata, sikap `syok sendiri' yang membelenggu kelompok pengarang tertentu dengan menghantar karya yang rendah keintelektualannya, selain sekadar bermain dengan kata-kata dan emosi semata-mata.

"Ada pengarang yang syok sendiri menyebabkan susah sebenarnya untuk saya menerima karya yang baik kualitinya, tinggi ilmu dan ada falsafah.

"Hakikatnya, kuantiti melebihi kualiti kebanyakan karya yang diterima, bahkan ada pengarang yang cuba membangkitkan soal kuota dan menggunakan saluran tidak sihat bagi memastikan hasil penulisan mereka tersiar," katanya.

Tambahnya, banyak komen negatif turut diterima daripada kelompok pengarang tertentu apabila karya mereka tidak tersiar, antaranya mempersoalkan kelayakannya sebagai editor.

Kritikan yang diterima tidak mematahkan semangat, namun menganggapnya sebagai cabaran dan tanggungjawab untuk beliau lebih serius dalam menapis karya dan tidak tunduk dengan politik dunia sastera yang tidak sihat.

"Ada yang membandingkan saya dengan editor besar DS sebelum ini seperti Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, apatah lagi menyentuh pendidikan saya yang lahir daripada latar belakang sains tulen.

"Bagaimanapun, tidaklah semua penulis bersikap demikian, ada yang menerima dengan positif apabila dimaklumkan karya tidak menepati kriteria untuk disiarkan dan dalam masa sama saya lihat ada potensi penulis muda yang lahir dengan gaya penulisan baik," katanya.

Sementara itu, Mohd Nazmi pula berkata, negara kekurangan penulis baharu dan pengarang sedia ada pula menulis dalam gaya hampir sama serta mungkin terikut-ikut dengan pengarang yang juga idola mereka.

"Apabila saya menerima sesebuah karya, seakan mudah untuk mengesan mereka lahir daripada kelompok mana kerana gayanya seakan sama dengan pengarang yang memimpin mereka.


EDITOR Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaakub pada sesi dialog yang diadakan di Rumah Pena. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Jadi dalam keadaan begini, kita akan melahirkan penulis dengan karya yang lebih kurang sama, bahkan ada dalam kalangan mereka seolah menjadikan penulisan sebagai medium untuk melepaskan geram semata-mata atau ruang bagi meluahkan kemarahan yang terpendam," katanya.

Mohd Nazmi juga menyuarakan pandangan supaya penulis muda memanfaatkan kuliah ilmu bukan saja anjuran badan bahasa dan persatuan penulis, tetapi turut mengikuti acara anjuran universiti dalam mempersiapkan diri untuk menghasilkan karya yang baik.

"Banyak sebenarnya program di universiti dan boleh dikatakan setiap fakulti ada pelbagai seminar dan forum yang boleh dimanfaatkan oleh penulis.

"Penulis sering menyifatkan diri mereka sebagai suara masyarakat, tetapi amat sukar melihat kelibat dalam acara ilmiah dan akhirnya hadir dengan karya yang tidak seberapa kerana kurang mempersiapkan diri dengan ilmu dan pemikiran intelektual," katanya.

Keluhan mengenai mutu penulisan pengarang wanita turut disentuh, terutama melihat kepada jumlah karya yang layak untuk disiarkan amat sedikit, sekali gus menggambarkan realiti mengapa gelaran SN masih belum dinobatkan dalam kalangan mereka.

"Antara penulis lelaki dan wanita, terus terang saya tidak melihat ada penyair wanita yang layak dinobatkan dengan gelaran SN, situasi semasa tidak menunjukkan mereka mampu memberikan saingan.

"Terutama dalam konteks puisi, tidak banyak karya yang baik dihantar ke ruangan Sastera, BH dan jika ada sekali pun, kualitinya agak mengecewakan," katanya.

Berita Harian X