Rabu, 10 Jun 2015 | 10:40am

Sukan SEA: Singapura lepasi sasaran awal 50 pingat semalam


PASUKAN renang negara, (dari kiri) Daniel Bego, Lim Ching Hwang, Tan Yean Alwyn, dan Sim Wee Sheng menunjukkan pingat perak yang mereka menangi dalam acara renang 4 x 100m lelaki akhir di Pusat Akuatik OCBC, Kallang, Singapura semalam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SINGAPURA: Kontinjen Singapura sudah pun melepasi sasaran awal 50 pingat emas pada hari kelima temasya semalam.

Kontinjen tuan rumah itu sudah berjaya mengumpul 52 emas, 43 perak dan 54 gangsa, dengan acara renang menjadi penyumbang pingat terbanyak kontinjen itu dengan empat emas.

Sementara itu, Thailand kini memintas kedudukan Vietnam untuk berada di tangga kedua carta pungutan pingat dengan mengumpul 38 emas, 40 perak dan 35 gangsa.

Vietnam di tempat ketiga setakat ini dengan 33 emas, 16 perak dan 38 gangsa dan Malaysia pula berada di kedudukan keempat dengan 21 emas, 26 perak dan 31 gangsa.


MUHAMMAD Hakimi Ismail memenangi emas dan memecahkan rekod kejohanan bagi acara lompat kijang Sukan SEA Singapura 2015 di Akuatik OCBC Stadium Nasional Kallang semalam. - Foto Osman Adnan

Acara olahraga yang membuka tirainya semalam mencuri tumpuan buat kontinjen Malaysia apabila Muhammad Hakimi Ismail berjaya menamatkan penantian 18 tahun acara lompat kijang lelaki dengan meraih pingat emas, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan SEA dan juga rekod kebangsaan.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu ialah pada Sukan SEA 1997 di Jakarta menerusi Mohd Zaki Sadri dengan catatan sejauh 16.05m.

Dia turut memadam rekod memadamkan rekod 16.67m milik atlet Vietnam, Hung Nguyen Van pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.


AKSI Pandalela Rinong pada acara akhir platform 10m di Pusat Akuatik OCBC, Kallang, Singapura semalam. - Foto EPA

Sementara acara tumpuan atau reben biru 100 meter (m) menjadi milik dua atlet berdarah campuran Filipina-Amerika, Kayla Anise Richardson (11.76s) untuk kategori wanita manakala Eric Shauwn Cray (10.25s) dalam kategori lelaki.

Selain Muhammad Hakimi, kontinjen negara turut menambah lima pingat emas dalam acara terjun (2), boling (1), pelayaran (1), gimnastik artistik (1).

Dalam pada itu, acara terjun yang menutup tirainya semalam, Malaysia terus unggul selepas mengutip lapan pingat emas dan tiga perak.

Hari keenam hari ini menawarkan jumlah pingat emas terbanyak iaitu 52 dengan acara olahraga menawarkan 12 emas manakala tinju 11. - BERNAMA

Berita Harian X