Ahad, 7 Jun 2015 | 12:02am
DATUK Dr Zurinah Hassan

Debaran Sasterawan Negara ke-13


ABDUL Latiff Mohidin

SIAPAKAH yang bakal diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-13? Apakah penyair akan meneruskan penguasaan dalam Anugerah Sastera Negara (ASN), sekali gus menjadi pilihan juri selepas dua penerimanya sebelum ini lebih dikenali dalam genre puisi? Atau mungkinkah kali ini giliran pengarang prosa pula dinobatkan?

Saban tahun nama besar dalam ranah sastera tanah air disebut-sebut sebagai calon SN. Antara yang menjadi kegemaran ialah deretan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) seperti Abdul Latiff Mohidin, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan, selain novelis dan cerpenis, Dr Fatimah Busu.

Pencapaian mereka dalam bidang kesusasteraan diakui hebat seiring kematangan usia sehingga masing-masing punya kekuatan sendiri.

Fatimah yang juga mantan pensyarah sastera misalnya diketahui sangat lantang dalam karyanya. Ketika ramai sarjana menyebut pengarang wanita lebih selesa menulis persoalan selingkar feminisme, pengarang kelahiran Kelantan itu sudah jauh melangkah dengan cerpen bernuansa politik, selain karyanya banyak yang diterjemahkan ke bahasa asing.


PROF Dr Siti Zainon Ismail

Kekuatan pengarang lama

Malah isu yang diangkat oleh Fatimah dalam kumpulan cerpen terbaharu, Kelopak Bunga Pahit menyerlahkan lagi kewibawaannya sebagai pengarang.

Begitu juga Zurinah yang sudah mula mengukir nama sejak 1970-an. Karyanya menyentuh pelbagai persoalan daripada politik hingga ekonomi, selain isu semasa yang melingkari hidup.


KUMPULAN cerpen Kelopak Bunga Pahit

Kehebatan yang sama sudah pasti tidak boleh dilupakan pada karya penyair seperti Latiff, meskipun tidak begitu aktif dalam penulisan sejak akhir-akhir ini, tiada siapa yang dapat menafikan kekuatan sajaknya seperti yang dapat dilihat pada Sajak-sajak Lengkap Latiff Mohidin terbitan PETRONAS pada tahun 2007. Puisi terbaik Latiff terhimpun di dalam naskhah ini seperti Sungai Mekong dan Katakan Pada Ku.

Siti Zainon juga tidak ketinggalan antara nama yang disebut-sebut meraih ASN, selain beberapa nama seperti Azmah Nordin, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), Sutung Omar RS dan Malim Ghozali Pk.


ZAINAL Palit (Zaen Kasturi)

Saingan penulis lebih muda

Pada masa sama, angkatan penulis yang jauh lebih muda berbanding nama terbabit tetapi memiliki pencapaian setara yang layak dicalonkan termasuklah Jong Chian Lai, Zainal Palit (Zaen Kasturi) dan Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).

Justeru, dengan deretan nama yang berwibawa dan mempunyai pengaruh besar dalam sastera kebangsaan, siapakah agaknya diangkat sebagai penerima ASN yang membawa gelaran SN ke-13?

Bagaimanapun, debaran itu bolehlah ditahan buat sementara waktu kerana Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran menegaskan mesyuarat pemilihan SN masih berjalan dan jika ada yang layak dipilih sebagai SN, ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum akhir tahun ini.

Tegas Abang Salehuddin, meskipun iklan pemilihan SN dibuat setiap tahun, bukan satu kemestian pada setiap tahun akan ada pengarang terpilih sebagai SN, sebaliknya ia bergantung kepada kelayakan pengarang yang dicalonkan.

gn4id:7651400

Kontroversi, polemik berpanjangan

Menyedari keputusan Anugerah SEA Write baru lalu yang ternyata mencetuskan kontroversi dan polemik berpanjangan, Abang Salehuddin mengakui perkara seperti itu sebenarnya subjektif.

"Dalam keadaan sedemikian sukar untuk mengelak daripada persoalan 'mengapa yang itu menang bukan yang ini' tetapi juri akan memberi perhatian pada perkara ini bagi memastikan calon yang paling layak dinobatkan.

"Barisan juri yang berada dalam jawatankuasa pemilihan adalah dari kalangan sarjana berkelayakan. Dalam soal memilih SN, pemilihan adalah mengikut merit dan ia tidak tertakluk kepada genre jauh sekali jantina," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu pastinya tidak akan meredakan spekulasi SN ke-13, malah mungkin menambah debaran kepada sebahagian pengarang dan penyair sama ada yang mengimpikan ataupun yang tidak terlalu menyimpan impian tinggi untuk merangkulnya.

INFO

  • ASN yang membawa gelaran SN adalah anugerah tertinggi yang diberikan kepada penggiat kesusasteraan kebangsaan.

  • Dimulakan pada tahun 1981 hasil gesaan mantan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn yang menginginkan hadiah sastera yang berprestij demi mengangkat martabat sastera negara.

  • Pengiktirafan itu dibuat oleh sejumlah sarjana dan pengkritik sastera dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sekretariatnya.

  • Sejak tahun 2003, pengarang yang dinobatkan sebagai SN akan menerima wang tunai berjumlah RM60,000, kemudahan menerbitkan karya bernilai RM500,000 dan rawatan kesihatan kelas satu di hospital kerajaan.

  • Berita Harian X