Sabtu, 13 September 2014 | 11:13pm

Hafizh hilang kelebihan

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan di litar basah ketika sesi latihan satu dan dua, semalam tidak mampu diulang penunggang negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang sekadar menamatkan sesi kelayakan Moto2 Grand Prix San Marino, Itali di petak ke-25, malam tadi.

Merakam masa ketiga dan keempat terpantas ketika Litar Misano dibasahi hujan, penunggang pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu hanya mampu mencatat masa 1 minit 39.670 saat ketika cuaca baik hari ini.

Catatan itu ketinggalan 1.627s di belakang penunggang Finland, Mika Kallio daripada pasukan Marc VDS yang mendominasi sesi kelayakan selepas mencatat masa terpantas 1:38.043s.

Petak kedua pula diisi rakan sepasukan Kallio, Esteve Rabat selepas hanya ketinggalan 0.067s diikuti pelumba Switzerland, Thomas Luhti yang menggunakan casis Suter ketiga untuk melengkapkan bahagian depan grid perlumbaan Moto2.

Seorang lagi penunggang negara dalam kelas Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Honda Asia pula terpaksa berpuas hati untuk bermula di petak ke-27 selepas mencatat masa 1:39.832s.

Dalam kelas Moto3, penunggang negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-18 diikuti rakan senegara, Amirul Hafiq Azmi lebih jauh di petak ke-32.

Zulfahmi yang menunggang jentera Honda musim ini mencatat masa 1:44.281s, ketinggalan 1.307s di belakang penunggang Australia, Jack Miller yang mencatat masa terpantas.

Petak kedua dan ketiga Moto3 pula dikuasai Niklas Ajo dan Alex Rins.

AKSI penunggang negara, Hafizh Syahrin Abdullah ketika sesi kelayakan di Grand Prix San Marino.

Berita Harian X