Sabtu, 6 Jun 2015 | 5:35pm

Adnan minta TNB kaji semula laluan talian grid Lentang

BENTONG: Kerajaan negeri Pahang meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya mengkaji semula laluan projek menara talian elektrik syarikat tenaga itu di Hutan Simpan Kekal Lentang kerana dikhuatiri akan menjejaskan pelbagai khazanah alam di dalamnya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata beliau sendiri menerima aduan berhubung perkara itu daripada orang kampung dan telahpun mengarahkan agar pihak TNB bertindak bagi mengatasinya.


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Saya ada terima SMS (kiriman pesanan ringkas) daripada orang kampung yang bimbang projek ini akan cemar kawasan air terjun dan sungai di hutan itu serta khazanah alam lain.

"Jadi kita telah minta supaya TNB supaya alihkan laluan yang sepatutnya ke tempat lain supaya tidak berlaku pencemaran alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Janda Baik di sini semalam.

BERNAMA sebelum ini pernah melaporkan kegusaran penduduk Janda Baik terhadap dua projek infrastruktur yang melibatkan TNB di kawasan hutan berkenaan.

Kontraktor yang terlibat dengan projek talian penghantaran 500 kiloVolt (kV) dari Bentong South ke Lenggeng dan juga talian 275kV dari Bentong South ke Ampang East itu didakwa tersasar daripada kawasan sepatutnya dan meneroka kawasan hutan sehingga mencemar sungai dan alam sekitar.

Mengulas perkara itu, Adnan melahirkan rasa kesal dengan mereka yang terlibat kerana nampaknya tidak sensitif untuk memelihara khazanah alam semasa melaksanakan projek mereka.

Sehubungan itu, beliau turut meminta pihak penguatkuasa supaya memantau keadaan itu dan ambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan perkara itu daripada menjadi semakin serius.

- BERNAMA

Berita Harian X