Sabtu, 13 September 2014 | 8:18am

Apple lancar iPhone 6, jam pintar

Apple memperkenalkan telefon pintar terbaharunya, iPhone 6 dan iPhone 6 Plus yang mempunyai saiz skrin lebih besar baru-baru ini.

Model iPhone 6 yang menampilkan skrin bersaiz 11.93 sentimeter (sm) atau 4.7 inci berbanding skrin 10.16sm (4 inci) yang terdapat pada model sebelum ini, manakala iPhone 6 Plus pula memiliki skrin lebih besar 13.97sm (5.5 inci).

Apple turut melakukan penambahbaikan dengan jangka hayat bateri lebih lama dan resolusi skrin lebih tinggi berbanding model terdahulu.

Telefon pintar yang dilengkapi barometer untuk mengukur altitud itu juga memberi kelebihan membuat panggilan menggunakan wifi sekiranya isyarat selular lemah.

Bagaimanapun, resolusi kamera masih dikekalkan pada 8 megapiksel walaupun pesaingnya Android dan Window menawarkan resolusi sekali ganda lebih tinggi.

Dilengkapi sensor

Apple dalam satu kenyataan melaporkan, bilangan megapiksel hanya satu faktor untuk mendapatkan foto jelas. Justeru, model terbaharu dilengkapi sensor untuk mendapatkan rakaman gambar yang lebih baik.

Bagi memenuhi keperluan pengguna Apple, iPhone 6 yang akan dijual di Amerika Syarikat pada 19 September ini turut menawarkan model dengan storan 16 gigabit, 64 gigabit dan 128 gigabit Selain iPhone 6 dan 6 Plus, Apple baru-baru ini, turut memperkenalkan jam tangan pintar yang sudah lama dinanti-nantikan peminat gajet berkenaan.

Jam pintar yang dikenali sebagai Apple Watch itu, peranti boleh pakai yang menjadikan produk pertama kategori baharu sejak melancarkan iPad pada tahun 2010.

Berita Harian X