Sabtu, 30 Mei 2015 | 12:03am
BURGER The Hulk yang sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan Kafe Thetable Penang. - Foto Errah Amran
PELANGGAN menikmati hidangan yang disediakan di Kafe Thetable Penang. - Foto Errah Amran
BURGER The Hulk menjadi hidangan popular di Kafe Thetable Penang. - Foto Errah Amran
THE Hulk antara hidangan burger popular yang disajikan Kafe Thetable Penang. - Foto Errah Amran

Burger warna-warni tarikan Thetable


PEMILIK Kafe Thetable Penang, Mohd Ridzuan Mohd Kamil. - Foto Errah Amran

ISTILAH kafe 'hipster' ketika ini menjadi pilihan kepada pelancong dan penduduk setempat untuk melepak sambil menikmati hidangan enak dengan harga berpatutan.

Tidak terkecuali, Kafe Thetable Penang di Tapak Warisan Dunia Georgetown, Pulau Pinang yang menjadi tarikan ramai apabila berani tampil dengan kelainan melalui hidangan 'spoof burger', yang bukan sahaja berwarna ceria, malah sedap rasanya.

Pemiliknya, Mohd Ridzuan Mohd Kamil, 30, berkata, 'spoof burger' adalah burger istimewa yang menggunakan ban istimewa pelbagai perisa.

"Antara burger yang mendapat sambutan hebat ialah 'Incredible Bun', iaitu ban berwarna hijau berperisa pandan digunakan bersama 'home made patty' yang diadun istimewa. Selain itu, burger Pink Panther berwarna merah jambu berperisa strawberi turut menjadi kegemaran ramai terutamanya kanak-kanak," katanya ketika ditemui di kafe miliknya di Lebuh Carnarvon, Georgetown.

Beliau berkata, daging lembu kisar segar yang diadun dengan herba istimewa digunakan untuk membuat 'patty' burger. Keunikan daging burger ini ialah ia hanya dibuat selepas pesanan pelanggan diterima.

Rasa daging segar garing dapat dirasai dengan tambahan sos istimewa yang dilapisi dengan kepingan salad segar, keju dan ban. Set burger yang disediakan bersama kentang goreng ini dijual dengan harga RM10 sahaja.

Selain hidangan burger, menu baharu yang disediakan khusus buat pelanggan ialah 'lamb grill' dan chicken wrap.

Daging kambing organik yang dipanggang bersama rempah-ratus istimewa dan dipadankan dengan sos lada hitam turut mendapat permintaan ramai.

Chicken wrap pula menjadi pilihan pelanggan yang inginkan makanan sihat. Ayam yang dipanggang dan dibungkus dengan roti jenis 'wrap' menjadikan hidangan berkenaan ringan tapi mengenyangkan.

Mohd Ridzuan berkata, kafenya yang terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO kebiasaannya dipenuhi pelanggan yang terdiri daripada pelancong, terutama pada hujung minggu.

"Kebanyakannya sini bukan sahaja untuk bersantai dan meluangkan masa, malah melepak sambil menggunakan wifi yang memang disediakan khas untuk pelanggan," katanya.

Beliau menambah, pencuci mulut istimewa yang berasal dari Mexico iaitu 'churros' turut disediakan selepas pesanan dibuat oleh pelanggan.

"Resipi istimewa iaitu doh lembut yang digoreng dan dihidangkan bersama sos coklat dan aiskrim yang diilhamkan oleh isteri, Suhana Shahabudin, turut menjadi tarikan utama pelanggan.

"Kek red velvet dan tiramisu yang dipadankan dengan pelbagai pilihan kopi dan teh juga boleh dinikmati di sini. Kami mempelbagaikan menu dari semasa ke semasa supaya pelanggan boleh merasai bermacam-macam hidangan Barat yang ditawarkan," katanya.

Lebih istimewa, katanya, Kafe Thetable adalah antara kafe halal yang beroperasi di tapak pelancongan dan untuk itu, pelanggan beragama Islam tidak perlu ragu-ragu bagi menikmati hidangan yang disediakannya.

  

INFO: Kafe Thetable
Lokasi: Lebuh Carnarvon, Georgetown, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 6 petang hingga 12 tengah malam
Menu Tarikan: Burger pink panther, Spoof Burger, daging kambing organik di panggang (grill)

Berita Harian X