Isnin, 25 Mei 2015 | 2:15pm

Tiada cadangan hentikan program j-QAF - Kamalanathan


TIMBALAN Menteri Pendidikan P Kamalanathan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menghentikan sistem pembelajaran j-QAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) di sekolah-sekolah aliran kebangsaan yang dilaksanakan sejak 2005.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata ini kerana program j-QAF berjaya memperkasakan Pendidikan Islam dan penghayatannya dalam kalangan murid-murid Islam di sekolah rendah.

"Pada masa ini, Kementerian Pendidikan sedang meneliti dan membuat semakan semula keperluan guru j-QAF setelah norma guru Pendidikan Islam dan guru j-QAF diluluskan penggabungannya oleh agensi Pusat.

"Urusan pengambilan guru akan akan dibuat setelah semakan itu selesai," katanya menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Baihaki sama ada kementerian akan menjadikan subjek Pendidikan Islam sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Kamalanathan berkata pihaknya akan melihat keadaan semasa sama ada ia keperluan untuk ia dilaksanakan.

"Aspek wajib lulus itu kita akan lihat keadaan semasa dan akan adakan perbincangan dengan 'stakeholder' untuk buat keputusan dan juga melihat keberkesanannya untuk kita laksanakan j-QAF di peringkat sekolah menengah pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X