Khamis, 21 Mei 2015 | 7:54am

Amalan doa dalam mentarbiah anak


PENDIDIKAN prasekolah antara cara ibu bapa bentuk anak berilmu. - Foto hiasan

MELAHIRKAN anak yang bijak dan salih adalah impian setiap ibu bapa tanpa mengira latar sosial, ekonomi atau pendidikan. Namun, kegagalan ibu bapa melahirkan anak impian mereka mungkin kerana salah faham terhadap masa usaha itu bermula.

Kebanyakannya hanya memulakan pendidikan apabila anak sudah mula bertutur sekitar usia dua hingga empat tahun. Terdapat juga yang langsung mengabaikan aspek pendidikan dan hanya menumpukan kepada keperluan jasmani.

Ibu bapa mahu anak pintar

Besarnya dorongan ibu bapa untuk mendapat anak pintar terbukti apabila semakin ramai yang sanggup berhabis wang ringgit menghantar anak ke sekolah swasta yang jauh lebih tinggi kos persekolahannya. Prasekolah pula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dengan menawarkan pelbagai teknik melahirkan pelajar cemerlang.

Kegigihan ibu bapa dalam pendidikan anak seperti ini wajar dipuji dan digalakkan. Namun, keghairahan inginkan anak pandai dengan pelbagai kaedah dan teori itu tidak mungkin sempurna tanpa memegang kukuh ikatan kepada Allah SWT.

Berdoa kepada Allah SWT adalah medium paling utuh dalam pendidikan anak. Tambahan pula doa ibu bapa untuk anak antara doa yang mudah diterima Allah SWT.

Menariknya, doa untuk kesejahteraan anak tidak bermula apabila telah mendapat anak atau selepas berkahwin. Doa seperti itu boleh dilakukan ketika seseorang belum berkahwin.

Permulaan tarbiah anak tidak juga bermula saat mereka berada dalam rahim ibu atau ketika hubungan kelamin dilakukan. Rasulullah SAW menganjurkan supaya berdoa untuk kesejahteraan anak walau pun orang tua mereka belum berkahwin, masih bujang atau remaja.

Ketika Rasulullah SAW diusir oleh orang Thaif yang menolak seruan dakwahnya, malaikat menawarkan kepadanya untuk membalas tindakan kasar penduduk untuk menghempap mereka dengan dua bukit Akhbasy (dua bukit di Makkah).

Rasulullah SAW dengan lembut menolaknya, malah mendoakan dengan penuh sikap penyayang supaya zuriat penduduk Thaif akan beriman. Doa Baginda - "Saya mendoakan semoga Allah mengeluarkan dari tulang sulbi mereka hamba yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukannya."

Lalu Allah memperkenankan doa Baginda dan menjadikan anak yang lahir daripada penduduk Thaif pada masa itu beriman serta menerima Islam.

Berdoa dan memohon kepada Allah SWT memperoleh zuriat salih adalah wasilah paling mudah untuk dilakukan. Sebaliknya, mereka yang enggan berdoa adalah selemah-lemah manusia. Sabda Baginda, seperti dilaporkan oleh at-Thobrani - "Manusia paling lemah adalah mereka yang lemah daripada berdoa."

Ulama dan orang salih mengamalkan doa supaya Allah SWT mengurniakan zuriat yang salih serta patuh kepada-Nya. Salah seorang ulama Nusantara yang bertanggung jawab membawa Islam di Tanah Melayu, Syeikh Irsyad al-Banjari, juga mengamalkan doa dalam mentarbiahkan anak.

Dikatakan bahawa beliau pernah berdoa supaya Allah menjadikan setiap generasi zuriatnya akan ada sekurang-kurangnya seorang yang menjadi ulama. Doanya termakbul sehingga sekarang.

Doa kurnia zuriat salih

Rasul yang juga manusia terpilih dan murabbi umat menggunakan doa kepada Allah SWT bagi mendapatkan zuriat yang salih. Nabi Ibrahim berdoa, "Wahai Tuhanku! Kurniakan kepadaku zuriat yang salih." (Surah as-Shaafaat, ayat 100)

Nabi Zakaria juga mendoakan zuriat yang salih seperti doanya yang diabadikan dalam surah Ali Imran, ayat ke-38 - "Wahai Tuhanku! Anugerahkan kepadaku dari sisi-Mu zuriat yang baik. Sesungguhnya, Engkau adalah yang Maha Mendengar doa."

Jika Rasul yang diangkat darjat mereka oleh Allah SWT melebihi manusia lain dari segi ketaatan kepada Pencipta, memerlukan doa sebagai satu seni tarbiah zuriat mereka, bagaimana dengan kita sebagai ibu bapa biasa yang tiada apa-apa.

Syaitan boleh mengganggu siapa sahaja sama ada orang dewasa atau pun kanak-kanak. Disunatkan berdoa memohon Allah SWT memberikan perlindungan kepada anak.

Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW pernah memohon perlindungan Allah SWT bagi cucunya, al-Hasan dan al-Husain. Doa Baginda - "Sesungguhnya ayah kamu pernah memohon perlindungan daripadanya (syaitan) dengan Ismail dan Ishaq. Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan pandangan mata jahat." (Riwayat al-Bukhari)

Ini adalah sunah Rasulullah SAW dan Rasul sebelum ini yang menjadi murabbi serta ikutan. Sebagai ibu bapa, kita mungkin mampu menghindari sebarang bahaya kepada anak yang dikasihi tetapi gangguan daripada syaitan tidak mungkin dapat dihindari melainkan memohonnya daripada Allah SWT.

 Jangan membataskan permintaan untuk anak kepada Allah SWT seperti meminta keselamatan di akhirat semata-mata. Sebaliknya, ibu bapa perlu mendoakan kesejahteraan anak di akhirat dan dunia. Mohon ditambah ilmu, rezeki dan kesejahteraan mereka di dunia.

Sangat malang bagi ibu bapa yang mendoakan keselamatan anak, tetapi apabila dalam keadaan marah, mereka memaki hamun dan mendoakan kecelakaan anak. Bagaimana jika kata-kata itu dimakbulkan Allah SWT. Rasulullah SAW mencegah ibu bapa mendoakan kecelakaan anak walaupun ketika marah.

Penulis ialah Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR), Sepang

Berita Harian X