Selasa, 19 Mei 2015 | 3:03pm
KETUA Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rangka dan komponen motosikal curi yang ditemui. - Foto Danial Noordin

Kumpulan curi motosikal tumpas

ALOR SETAR: Polis melumpuhkan satu kumpulan curi motosikal dikenali sebagai 'Geng Piloy' hasil penahanan lima suspek termasuk individu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan, berkata dalang yang dikenali dengan nama samaran 'Piloy' berusia 24 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki yang berusia antara 19 hingga 25 tahun dalam satu serbuan di sebuah pondok tinggal di Kuala Kedah.

Keempat-empat suspek itu katanya ditahan di dalam pondok yang sama manakala seorang lagi suspek yang berumur 36 tahun ditahan di sekitar kawasan Kuala Kedah dan kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu ketika diberkas, katanya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Katanya, hasil serbuan polis merampas sebuah komputer riba, dua rangka dan enjin motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5, serta sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang kesemuanya dilaporkan hilang di Alor Setar, Kuala Kedah dan Alor Janggus.

Adzaman berkata dalang kumpulan itu baharu saja dibebaskan dari penjara enam bulan lepas serta mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan pecah rumah, manakala seorang lagi suspek mempunyai enam rekod lampau.

Kesemua suspek kumpulan berkenaan yang mula bergerak aktif sejak Februari tahun ini, ditahan reman dari tarikh tangkapan (10 Mei) hingga esok. -BERNAMA

Berita Harian X