Selasa, 19 Mei 2015 | 2:55pm

Sukan SEA: Skuad bola jaring azam ulang detik emas 2001

KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring negara ke Sukan SEA ke-28 di Singapura, bulan depan berazam mengulangi detik gemilang memenangi pingat emas seperti pertama kali acara berkenaan dipertandingkan dalam temasya itu pada 2001.

Pengurus pasukan, Zainoor Md Noh berkata selepas enam kali penganjuran Sukan SEA acara bola jaring tidak dipertandingkan, beliau berharap acara berkenaan akan diteruskan bermula pada penganjuran kali ini.

"Kita mahu mengulang sejarah raih pingat emas seperti pada 2001 tapi pemain kena bekerja keras sedikit untuk menundukkan pasukan tuan rumah. Saya lihat Singapura menjadi pesaing utama sekarang.

"Kedudukan ranking mereka di Asia memang tertinggi, diikuti Sri Lanka dan Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (INF) pada 20 Disember 2014, Malaysia berada di tangga ke-23 manakala pencabar terdekat Singapura di tangga ke-17.

Zainoor berkata pemainnya kini sedang menjalani latihan akhir di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan bermula pada Jumaat lepas hingga 27 Mei ini, sebagai persediaan sebelum berlepas ke Singapura.

"Sehingga kini, saya lihat mereka (pemain) sudah bertambah yakin selepas beberapa kejohanan dan pendedahan yang diberikan oleh jurulatih Aminah Ashaari dan Huslina Mohd Hussin," katanya.

Selain Malaysia dan tuan rumah Singapura, pasukan bola jaring dari Thailand, Brunei, Filipina dan Myanmar turut menyertai acara tersebut pada temasya dwitahunan itu.

Sebagai rekod, kali pertama dan terakhir acara bola jaring dipertandingkan pada Sukan SEA ialah di Kuala Lumpur pada 2001, yang menyaksikan pasukan negara menjuarai acara itu.

Skuad negara juga pernah meraih pingat emas Kejohanan Asia pada 1985 dan pingat perak pada edisi 1990, 1997 dan 2005 dalam kejohanan yang turut disertai Sri Lanka, Singapura, Brunei, India, Hong Kong, Thailand, Vietnam, Jepun dan Myanmar.

Skuad remaja adalah juara juara Remaja Asia lima kali berturut-turut sejak gelaran diraih pertama kali di Sri Lanka pada 2004, 2006 dan 2010 di India, 2008 di Hong Kong dan 2013 di Brunei. - BERNAMA

Berita Harian X