Selasa, 19 Mei 2015 | 8:05am

52 terbunuh tanah runtuh Colombia


PENDUDUK dan pekerja penyelamat mencari mangsa tanah runtuh di Salgar serta mengorban 52 orang. - Foto EPA

SALGAR, Colombia: Kejadian tanah runtuh di barat laut negara ini pada awal pagi Isnin setakat ini sudah mengorbankan 52 orang dan 37 cedera, kata pegawai.

Penduduk kawasan itu sedang tidur ketika kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira jam 3 pagi.

"Tanah dan selut memusnahkan segala-gala yang ada di laluannya," kata Datuk Bandar Salgar, Olga Osorio.

Pekan kecil Santa Margarita kini sudah lenyap daripada peta, katanya.

Imej yang diambil daripada udara menunjukkan aliran selut meliputi satu kawasan luas, memusnahkan semua rumah, bangunan dan pokok di laluannya.

Penduduk pula dilihat bertungkus lumus mengaut tanah cuba menyelamatkan apa yang termampu.

President Juan Manuel Santos yang pergi ke kawasan itu, bertemu dengan pegawai serta penduduk tempatan.

"Tiada siapa yang boleh mengembalikan saudara mara yang terkorban, kita semua sedih dengan kehilangan itu. Akan tetapi, kita mesti tempuhi bencana ini dan melihat ke hadapan," katanya.

Dalam pada itu, kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat bencana itu kini diletakkan di bawah perlindungan Institut Kesejahteraan Keluarga Colombia, katanya. - AFP

Berita Harian X