Selasa, 19 Mei 2015 | 7:32am

Wanita mudah masuk syurga, terjerumus dalam neraka

ISRAK Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasulullah SAW dan umat Islam. Setiap tahun pada tarikh 27 Rejab, umat Islam seluruh dunia akan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku sebelum Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Israk bererti Allah membawa atau memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Sementara Mikraj pula perjalanan Nabi Muhammad SAW dari bumi ke langit.

Dengan itu Israk dan Mikraj bermaksud perjalanan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, kemudian naik ke langit hingga ke Sidratul Muntaha, menjelajahi tujuh lapis langit sebelum kembali semula ke Makkah pada malam itu juga.

Banyak pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj ini. Ketika Rasulullah SAW diangkat dari Baitulmaqdis ke langit dunia, Baginda diperlihatkan pelbagai peristiwa luar biasa terutama azab dikenakan ke atas golongan wanita, golongan majoriti dalam neraka.

Sabda Baginda bermaksud: "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara (orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka, maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita." (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Suami lebih berhak ke atas isteri

Membincangkan pengajaran Israk dan Mikraj dari sudut rumah tangga dan kekeluargaan, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam Rancangan Pesona D'Zahra minggu lalu, mengingatkan pendengar mengenai tanggungjawab isteri dalam rumah tangga.

Bagi memberi penjelasan kedudukan suami dan ketaatan seorang isteri, Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Aisyah ra bermaksud: "Aku pernah bertanya kepada Baginda siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?" Baginda menjawab: "Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi: "Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab: "Orang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya." (Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Begitulah tingginya kedudukan suami dalam Islam terhadap isteri. Mungkin ramai pasangan yang melangkah ke alam rumah tangga tidak dididik dengan ilmu yang membimbing pasangan itu ke arah keluarga sejahtera. Justeru itu, ramai tergelincir dalam kederhakaan.

Derhaka bermaksud ingkar suruhan Allah untuk mentaati suami. Dan sesungguhnya kita mengetahui bahaya kehidupan dunia dan akhirat jika ingkar perintah dan suruhan Allah SWT. Ustaz Muhamad seterusnya menyebut banyak sebab mengapa seseorang isteri menjadi derhaka.

Ada tiga jenis derhaka yang disebutkan iaitu yang pertama, perbuatan tidak mentaati suami atas ukuran Allah SWT walaupun bukan atas ukuran suami.

Ia melakukan kederhakaan atau kemaksiatan kepada suami yang dianggap remeh. Derhaka seperti ini hanya Allah yang menjatuhkan hukum neraka dan syurga dan suami yang menentukannya.

Walaupun dianggap ringan oleh isteri atau orang lain, namun seperti disebutkan ulama "Orang Mukmin akan sentiasa melihat sesuatu dosa umpama gunung yang akan menghempapnya, sedangkan orang yang lalai melihat maksiat dan dosa hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidung sahaja."

Derhaka yang kedua adalah perbuatan menggugurkan hak nafkah suami kepada isteri. Keputusan menjatuhkan hak nusyuz ini walau bagaimanapun hanya boleh ditentukan di mahkamah syariah.

Derhaka yang ketiga adalah derhaka berganda dan inilah yang Nabi Muhammad SAW maksudkan apabila melihat ramai wanita berada di dalam neraka dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Derhaka berganda bermula daripada derhaka tahap pertama contohnya pertengkaran suami isteri. Ia menjadi berganda kerana lahirnya fitnah, rentetan perbalahan antara suami isteri.

Suami isteri akan menceritakan masalah rumah tangga kepada orang lain yang tidak berkepentingan dan layak mendengar.

Ini akan menimbulkan fitnah akibat cerita tambahan. Dalam Islam, fitnah itu lebih buruk daripada dosa membunuh. Akibat fitnah berlakunya permusuhan antara ibu dan bapa mentua kerana mendengar cerita anak dan menantu yang bertengkar tadi.

Hasilnya berlakulah pengambilan hak yang tidak sepatutnya antara anak atau menafikan hak masing-masing seperti nafkah, melawat anak, permusuhan dan banyak lagi mudarat.

Hakikatnya hanya suami isteri mengetahui kebenarannya tetapi disampaikan kepada orang lain dengan versi masing-masing. Ini dipanggil 'derhaka berganda' kerana dosanya berterusan umpama bola salji yang bergolek kian membesar.

Sesungguhnya berhati-hatilah dalam setiap langkah dan perbuatan hatta terhadap orang yang paling dekat dengan kita iaitu pasangan. Walaupun mereka boleh menjadi jalan membawa ke syurga, jika tersalah langkah, kesalahan dan kelalaian terhadap pasangan juga boleh menyebabkan ia terjerumus ke neraka.

Wajib timba ilmu

Justeru, suami wajib menimba ilmu dan memberi didikan ilmu agama kepada isterinya dan memastikan isteri tidak melakukan kemungkaran dan kemaksiatan dalam rumah tangga bagi mengelak neraka di akhirat.

Tegur menegur dalam meniti kehidupan dan selalulah menghadiri majlis ilmu bagi memperbaiki diri. Jika tidak, di dunia lagi neraka itu akan dirasai dengan hilangnya keberkatan dan ketenangan hati dalam ahli keluarga.

Berusahalah mencapai syurga berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Disebutkan wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita salihah iaitu menunaikan solat fardu, puasa Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya."

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Berita Harian X