Isnin, 18 Mei 2015 | 12:18am

vivo X5Max dengan dua kad SIM

JENAMA telefon pintar antarabangsa, vivo mengesahkan model telefon pintar ternipis keluarannya, vivo X5Max yang ditampilkan dengan tema 'Extreme Hi-Fi & Slim Body' akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia dalam tempoh terdekat.


TELEFON pintar vivo X5Max dengan tema 'Extreme Hi-Fi & Slim Body'.

Peranti pintar itu yang hanya setebal 5.08mm, menyerlahkan keupayaan vivo menghasilkan peranti pintar yang dipakej dengan pelbagai ciri dan fungsi inovasi yang memudahkan penggunaan.

vivo x5Max adalah telefon pintar pertama yang dibina dengan ciri piawai Hi-Fi 2.0 yang diterjemahkan menerusi prestasi yang jauh lebih hebat berbanding model terdahulu. vivo X5Max menggunakan cip Snapdrafon 615 dan dijana pemproses 64-bit teras octa serta dipadankan dengan RAM sebesar 2GB serta memori terbina dalam 16GB.


DIJANGKA dibawa ke Malaysia dengan tanda harga dari RM1,799 seunit.

Ia juga disokong dengan keupayaan memuatkan dua SIM (microSIM dan nanoSIM) serta menyokong kad memori luaran hingga 128GB.

Pengguna yang tidak memerlukan slot SIM tambahan boleh memasukkan kad memori microSD. Selain itu, vivo X5Max dibina menggunakan menggunakan keluli yang tahan karat dan salutan anticap jari dalam pembuatan badannya.

Skrin pula menggunakan panel 5.5 inci Super AMOLED dengan paparan 1080P yang mana mengandungi tahap kecerahan dan ciri-ciri kontras yang tinggi. vivo X5Max juga didatangkan bersama dengan bicu fon kepala 3.5mm bagi membolehkan pengguna menikmati muzik yang bertenaga dan menyegarkan tanpa perlu berbelanja tambahan membeli aksesori.

Memperkemas pengalaman pemilikan peranti pintar ialah keupayaan hebat mengambil gambar menerusi kamera depan 5MP dan 13MP di belakang. Dengan bukaan F2.0, kamera pada peranti itu mempunyai keupayaan lebih baik untuk mengawal bunyi semasa mengambil gambar sekali gus memberikan pengguna kebebasan untuk merakam imej pegun atau video.

Telefon pintar terbaharu vivo X5Max dijangka dibawa ke Malaysia dengan tanda harga dari RM1,799 seunit.

Tablet murah Samsung

Samsung Galaxy Tab3 V, tablet yang menggabungkan pelbagai ciri ditambah baik dan ditawarkan kepada pengguna pada harga sangat berdaya saing, RM499 seunit.


GALAXY Tab3 V dengan paparan 7-inci WSVGA dan Pemproses 1.3GHz Empat Teras.

Samsung Galaxy Tab3 V direka dan dikeluarkan dengan sasaran kepada pengguna tab kali pertama. Dengan tanda harga menarik dan pelayaran intuitif, tablet ini menawarkan kecanggihan dan mutu yang sepadan dengan jenama Samsung.

Peranti itu adalah jawapan kepada usaha merapatkan jurang digital dan memastikan tiada yang ketinggalan daripada dunia mudah alih dan kemudahan yang ditawarkan internet.

Galaxy Tab3 V lengkap dengan sambungan internet jalur lebar mudah alih 3G untuk membolehkan pengguna sentiasa kekal terhubung dengan rakan laman sosial serta berkongsi tablet itu dengan ahli keluarga di mana saja berada.

Walaupun agak murah, Galaxy Tab3 V dizahirkan dengan penampilan dan prestasi kualiti yang sama dengan peranti lain dalam siri Galaxy.

Tablet ini menampilkan paparan 7-inci WSVGA dan Pemproses 1.3GHz Empat Teras; kamera 2MP depan dan belakang serta sambungan 3G yang membolehkan panggilan video.

Berita Harian X