Sabtu, 16 Mei 2015 | 12:09am

Kaedah bebola beku Kyro selamat 10,000 penghidap barah

BERITA kematian pengasas produk berteknologi pintar Apple, Steve Jobs akibat barah jarang ditemui iaitu barah neuroendokrin masih menjadi sebutan ramai.

PENGASAS produk Apple, Steve Jobs. - Foto wikipedia.org

Ia satu kehilangan besar kepada industri telekomunikasi dan memberi `cabaran' kepada dunia perubatan, khususnya bidang onkologi iaitu bidang perubatan yang mengkaji barah atau tumor.

Kebanyakan pakar perubatan 'menyesali' nasib Jobs kerana diagnosis penyakitnya lewat dikesan, selepas tujuh atau lapan tahun beliau mengalami sakit berterusan.

Ketika itu, sel kanser pankreas neuroendokrin dihidapinya sudah berada pada tahap serius iaitu tahap empat dan merebak ke bahagian organ lain, termasuk hati.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, dipercayai bersimpati dengan nasib Jobs menawarkan sebahagian hatinya untuk didermakan saat Jobs bertarung melawan penyakitnya.

TIM Cooks (kiri) bersama Steve Jobs ketika hadir pada majlis memperkenalkan MacBook Air pada 2007. - Foto Getty Images

Sementara itu, pakar onkologi yang juga Ketua Presiden Hospital Kanser FUDA (FUDA), Prof Dr Xu Kecheng, berkata Jobs mempunyai harapan hidup lebih lama sekiranya beliau menerima pendedahan awal mengenai teknik mengubati sel kanser yang dibangunkan oleh pakar di Guangzhou, China.

DR Xu Kecheng. - Foto Munira Abdul Ghani

Katanya, tumor pankreas mengambil masa lama untuk membesar dan matang, justeru pesakit berpeluang diselamatkan jika barah dikesan lebih awal.

"Semua pesakit barah berpotensi hidup lebih lama. Pakar perubatan tidak menafikan kaedah konvensional seperti pembedahan berupaya membebaskan pesakit daripada barah, namun risikonya tinggi.

"Jika pesakit mempunyai pilihan dan sumber kewangan mencukupi, mereka boleh diselamatkan," katanya yang turut mempengerusikan Persidangan Antarabangsa Barah Pankreas Kedua, di Guangzhou dan Shenzhen, di China, baru-baru ini.

Menurut Dr Xu yang juga Presiden Yayasan Antarabangsa Cryosurgery (ISC), kebanyakan pakar memperkenalkan kaedah pembedahan dan kemoterapi bagi merawat barah.

Namun, beliau berkata, ada banyak kesan sampingan seperti pendarahan teruk atau sistem pertahanan badan lemah.

Hospital Kanser FUDA menemukan sembilan kaedah terapi rawatan yang berupaya mengubati jenis dan daripada semua tahap barah berbeza, termasuk barah yang jarang ditemui.

Antaranya, teknik perubatan tradisional tempatan China digunakan untuk merawat pelbagai jenis kes tumor; immunoterapi tempatan (barah otak); terapi fotodinamik (gastrik, melanoma dan trakea) dan terapi nanoknife (pankreas, hati, paru-paru).

Dr Xu berkata, kaedah pembedahan pembekuan Cryosurgery (pembedahan Kryo) adalah rawatan popular dan terbukti paling selamat merawat serangan kanser sama ada pesakit kanser tahap satu, dua, tiga atau empat.

Selamatkan banyak nyawa

Menurutnya, sejak mula membangunkan kaedah pembedahan Kryo kira-kira 10 tahun lalu, lebih 10,000 pesakit barah seluruh dunia berjaya diselamatkan, termasuk 200 pesakit barah dari Malaysia.

"Hasilnya positif. Saya turut menjalankan penyelidikan terhadap diri sendiri selepas disahkan menghidap barah hati pada tahun 2006. Saya percaya keberkesanan kaedah ini berikutan dapat bertahan sehingga hari ini.

DR Xu Kecheng turut menjalankan penyelidikan terhadap diri sendiri selepas disahkan menghidap barah hati pada 2006. - Foto Munira Abdul Ghani

"Justeru, saya berjanji membantu menyelamatkan pesakit barah seluruh dunia, termasuk menyediakan perkhidmatan pembedahan terbaik, kurang menyakitkan, kurang risiko dan cepat sembuh," katanya.

Kaedah pembedahan Kryo, teknologi rekaan Amerika Syarikat mula dibangunkan sekitar tahun 1960-an, diikuti Australia pada 1972. Hospital Kanser FUDA mula mempelopori teknologi itu bagi menjalankan penyelidikan penambahbaikan teori dan aplikasi klinik untuk merawat barah kira-kira 10 tahun lalu.

Kemajuan dunia perubatan China hari ini, menjadikan teknik perubatannya meraih kepercayaan lebih 60 negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kanan Pembedahan, Kardiotorasik dan Onkologi Invasif Minimal, Hospital Kanser FUDA, Dr Li Haibo, berkata kaedah pembedahan Kryo menjanjikan kejayaan sehingga 95 peratus.

Katanya, ini berikutan prosedur pembedahan membabitkan bantuan mesin seperti ultrasound, CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) dan pengimejan resonan magnet (MRI). Prosedur ini penting bagi memastikan ketepatan ketika memasukkan bebola Kryo beku ke dalam tumor.

"Pembedahan Kryo menggunakan teknik ablation (pembuangan atau pemisahan bahagian organ melalui kaedah seperti pembedahan, laser atau embolisasi) yang dijalankan dalam tempoh 40 minit hingga 50 minit.

"Bebola Kryo ditetapkan pada suhu 160 darjah dan dimasukkan ke dalam tumor dengan bantuan mesin robotik. Untuk setiap kemasukan, doktor akan menunggu kira-kira 15 minit sebelum memasukkan bebola Kryo berikutnya. Pesakit akan mengalami luka kecil, namun cepat pulih," katanya.

Kata Dr Li, bilangan bebola Kryo mengandungi Argon dan gas Helium yang dimasukkan ke dalam tumor pesakit, bergantung pada tahap serangan dan jenis barah yang menyerang mereka.

Biasanya, doktor akan memasukkan satu atau dua bebola Kryo, yang menunjukkan hasil pantas dalam tempoh beberapa saat membekukan sel barah, mengurangkan oksigen dan seterusnya, mengecutkan tumor berkenaan.

Pesakit tidak dibius

Ketika proses pembedahan, pesakit tidak dibius sepenuhnya sehinggakan ada antara pesakit sedar ketika menjalani pembedahan Kryo.

Jelas Dr Li, bagi pesakit barah tahap kronik, biasanya mereka menggunakan gabungan teknik rawatan terbaharu, iaitu 3C+P (pembedahan Kryo (CSA), Intervensi Barah Microvaskular (CMI), Gabungan Terapi Imun (CIC) dan terapi peribadi) bagi membantu pesakit cepat sembuh.

Sementara itu, pakar onkologi dan bedah dari Australia, Prof Nikolai Korpan, adalah doktor pertama berpengalaman melakukan pembedahan Kryo.

Beliau yang menggunakan teknik pembedahan konvensional mengakui inovasi pembedahan Kryo China, mengurangkan komplikasi sehingga kurang daripada satu peratus.

Katanya, pesakit kurang berdepan risiko komplikasi seperti pendarahan, sekali gus berjaya diselamatkan, malah hidup lebih lama. Bagaimanapun, dalam tempoh lima tahun pertama, pesakit diletakkan di bawah pemantauan pakar bagi mengelakkan sel barah berulang.

TANDA awal barah pankreas.

INFO :

  • Barah pankreas, jarang dikesan dalam kalangan pesakit kerana tidak menunjukkan simptom awal.
  • Ketika diagnosis awal, biasanya pesakit sudah mengalami barah tahap empat.
  • Jangka hayat pesakit kurang daripada lima tahun. Hanya kira-kira empat peratus pesakit boleh hidup melebihi lima tahun.
  • Bahagian hujung organ pankreas mengandungi sel menghasilkan insulin. Di bahagian pangkal organ pankreas mengandungi sel menghasilkan enzim penghadaman.
  • Jika tumor berada pada sel menghasilkan insulin, ini dikenali sebagai tumor endokrin. Biasanya mudah dikesan tetapi jarang berlaku.
  • Tumor berlaku pada sel menghasilkan enzim penghadaman (tumor eksokrina), jenis tumor yang sering kali berlaku dalam kalangan pesakit. Bagaimanapun, sukar dikesan pada peringkat awal.
  • 92 peratus pesakit barah pankreas mengalami kes barah merebak ke organ lain
  • 53 peratus yang alami barah merebak ke organ lain tidak dapat menjalani pembedahan membuang sel barah
  • Selepas menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi, pesakit hanya mempunyai masa tiga bulan hingga enam bulan saja untuk hidup.
  • Hanya 10 peratus pesakit kanser pankreas hidup lebih daripada setahun.
Berita Harian X