Rabu, 10 September 2014 | 7:48pm
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook melancarkan Apple Watch dan dua iPhone baharu, iPhone 6 dan iPhone 6 Plus. - Foto AFP
Apple memperkenalkan jam pintar, Apple Watch yang boleh digunakan dengan model iPhone 5 ke atas. - Foto AFP

Apple mahu kekal sebagai pencetus trend

SAN FRANCISCO: Apple mahu mengambil semula kedudukannya sebagai pencetus trend menerusi pelancaran dua varian iPhone terbaharu dengan skrin lebih besar dan peranti jam pintar.

Dengan pelancaran Apple Watch dan iPhone 6 yang membolehkan Apple masuk dalam trend phablet, firma itu yang berpangkalan di Cupertino, California memenuhi harapan peminatnya sejak beberapa bulan sebelum pelancaran malam tadi.

"Apple Watch, peranti molek yang berhubungan dengan iPhone, akan merumus semula jangkaan pengguna terhadap produk dalam kategori ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook pada pelancaran itu.

Firma penjejak pasaran, IHS melihat arah aliran yang dibawa Apple sebagai usaha syarikat itu mengubah penerimaan pasaran terhadap peranti komputer boleh dipakai seperti ia mencetus fenomena telefon pintar menerusi pelancaran iPhone.

"Bagaimanapun, mencarta hala tuju dalam kategori baharu sepenuhnya adalah mahal dan berisiko," kata IHS dalam nota penyelidikannya mengenai Apple selepas pelancaran produk baharu berkenaan.

Walaupun sudah banyak syarikat yang memperkenalkan jam pintar, tiada yang berjaya meraih bahagian pasaran besar setakat ini, kata penyelidik di Endpoint Technologies, Roger Kay.

Menyegerakkan Apple Watch dengan iPhone mungkin bermakna kos keseluruhan memiliki peranti berkenaan mencecah AS$1,000 (RM3,193.14), kata Kay.

"Setakat ini saya tidak lihat Apple akan menerajui kategori ini," katanya.

Model baharu iPhone 6 mempunyai skrin lebih besar hinggakan ramai yang menjangka Apple mahu masuk pasaran phablet, peranti pintar yang menggabungkan ciri telefon pintar dan tablet.

iPhone 6 didatangkan dalam varian skrin 4.7 inci dan 6-Plus dengan 5.5 inci bagi memenuhi keperluan pengguna Apple yang mahukan skrin lebih besar.

Model terbaharu itu akan dijual dengan pakej sama di Amerika Syarikat (AS) seperti yang sedia ada, AS$199 (RM635) manakala 6-Plus pada AS$299 (RM955), masing-masing dengan kontrak dua tahun.

Mengikut Apple, peranti terbaharu berkenaan akan dijual di 155 negara menjelang hujung tahun ini dan tempahan bagi iPhone 6 akan mula dibuka Jumaat ini.

Selain iPhone, Apple Watch adalah peranti terkini diperkenalkan syarikat itu selepas kematian pengasas syarikat, Steve Jobs.

Apple Watch akan dijual pada AS$349 (RM1,114) apabila dilancarkan kepada pasaran awal tahun depan. Jam pintar itu bagaimanapun boleh digunakan dengan iPhone 5, 5C dan 5S.

Walaupun Apple Watch mempunyai skrin sesentuh, banyak kawalan bagaimanapun boleh dibuat menerusi tolok digital supaya jari tidak menghalang skrin. - Reuters

Berita Harian X