Khamis, 14 Mei 2015 | 10:02pm

Syarikat kereta elektrik China jadikan Malaysia hab ASEAN


MENTERI Besar Kedah Datuk, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tengah) menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara wakil BAIC dan Amber Dual Sdn Bhd. - Foto BERNAMA

BEIJING: Beijing Auto International Cooperation (BAIC) yang juga antara syarikat pengeluar utama kenderaan elektrik dunia, mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pemasaran kenderaannya bagi pasaran Asia Tenggara.

Sehubungan itu, BAIC hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan rakan kongsi mereka di Malaysia, Amber Dual Sdn Bhd, di kilang syarikat itu di sini, dengan menyasarkan pengeluaran pertamanya pada Julai 2016 di kilang yang bakal dibina di Gurun, Kedah.

Pemeteraian perjanjian itu dilakukan Naib Presiden Kanan Bahagian Jualan BAIC, Li Ji bersama Pengarah Urusan Amber Dual Sdn Bhd Shabudin Md Saman dan disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mengikut Mukhriz, ini kali pertama sebuah syarikat pengeluar kenderaan elektrik melabur di Malaysia dan memilih Gurun sebagai lokasi pemasangan kenderaan itu.

Katanya, Kedah sudah memiliki industri automotif yang berkembang pesat dengan teknologi yang sentiasa diperbaharui dan kehadiran BAIC disifatkan akan menyemarakkan lagi industri automotif di negeri itu.

"Kita sudah ada pemasangan kenderaan CKD menggunakan enjin biasa, sudah ada kenderaan hibrid dan terkini kenderaan elektrik. BAIC adalah nombor satu di China sebagai syarikat kenderaan elektrik sepenuhnya dan yang kedua di dunia," katanya selepas melawat kilang BAIC hari ini.

Beliau turut menyifatkan kerjasama BAIC dengan syarikat Malaysia sebagai satu kelebihan kepada BAIC yang bukan setakat memasuki pasaran Malaysia tetapi turut menembusi pasaran Asia Tenggara yang mempunyai 550 juta penduduk.

"Dengan adanya kilang itu di Gurun, ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Di Kedah, sudah wujud syarikat tempatan yang memasang kenderaan dengan kerjasama syarikat automotif asing, jadi tak susah untuk menerima cadangan baru.

"Kenderaan elektrik ini adalah teknologi terkini dan inilah yang kita harapkan. Semoga selepas ini ada pembekal yang akan memasuki rantaian nilai kenderaan elektrik ini.

"Ia tak sama dengan kenderaan yang guna enjin petrol dan ada komponen lain. Ini semua komponen baru yang mungkin dimajukan oleh syarikat tempatan untuk dibekalkan kepada syarikat yang memasang kenderaan itu," katanya.

Mukhriz kini dalam misi perdagangan dan pelaburan kerajaan negeri Kedah ke China sejak Selasa lalu hingga esok. - BERNAMA

Berita Harian X