Khamis, 14 Mei 2015 | 5:39pm

PETRONAS perkenal 3 minyak pelincir baharu

KUALA LUMPUR: PETRONAS memperkenalkan tiga produk minyak pelincir baharu sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk mencapai sasaran sebagai pemain nombor satu dalam perniagaan itu menjelang 2018.

Tiga minyak pelincir dalam pek empat liter berkenaan ialah Syntium 800, Syntium 3000 dan Syntium 7000 yang sudah berada di pasaran sejak 21 Mac lalu.


DARI kiri Petronas Syntium 7000, 3000 dan 800. - Foto Aizuddin Saad

Syntium 800 dijual pada harga RM118 di Semenanjung manakala RM119 di Sabah dan Sarawak; RM225 di Semenanjung bagi Syntium 3000 dan RM226 di Sabah dan Sarawak manakala Syntium 7000 pula dijual pada RM260 di Semenanjung dan RM261 di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Lub Dagangan Sdn Bhd, Zubair A Razak, berkata minyak pelincir berkenaan dilengkapi teknologi CoolTech yang mampu melindungi enjin kereta daripada suhu panas melampau.

"Teknologi ini menjadikan suhu enjin kereta lebih sejuk dan mampu menghasilkan prestasi lebih baik selain membuatkan enjin bertahan lebih lama daripada biasa.

"Dari segi harga dan kualiti, saya boleh katakan ia adalah kompetitif," katanya dalam satu pertemuan dengan BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zubair berkata, tiga minyak pelincir berkenaan dihasilkan pasukan teknikal Mercedes AMG PETRONAS Formula 1 (F1).

"PETRONAS memanfaatkan pembabitan dalam Formula 1 bukan sahaja untuk membangunkan minyak pelincir baharu untuk pengguna, malah merangkumi bahan bakar.

"Kita menggunakan kepakaran dan pengalaman yang sama dalam F1 dengan memindahkan ke produk bukan saja di Malaysia, tetapi pada peringkat global," katanya.

Pengguna kini boleh membeli minyak pelincir berkenaan dalam bentuk pembungkusan baharu di stesen minyak terpilih PETRONAS.

"Kita juga akan memastikan mereka boleh mendapatkan minyak pelincir ini di kedai alat ganti dan bengkel kenderaan nanti," katanya sambil menambah syarikat turut merancang memasarkan minyak pelincir berkenaan ke 80 negara lain iaitu di pasaran sedia ada.

Selain itu, syarikat bercadang untuk menerokai pasaran baharu di Myanmar.

Berita Harian X