Ahad, 3 Mei 2015 | 7:40am

Ujian HPLC kesan sarang burung walet palsu

Sejarah sarang burung yang dijadikan juadah sudah dicatatkan lebih 1,000 tahun lalu di China. Dalam buku Extreme Cruisine, tulisan Jerry Hopkins yang memetik kajian Profesor Biokimia di Universiti Hong Kong, Yun Cheung Kong menyatakan bahawa sarang burung dijadikan hidangan sejak zaman Dinasti Ming lagi.

Malah, pada awal pemerintahan Dinasti Ming, panglimanya memulakan tujuh perjalanan meredah 'Lautan Selatan' termasuk untuk mencari sumber baharu bagi sarang burung itu di tempat lain.

Sejarah juga mencatatkan perjalanan kapal dagang China di lautan yang sama sekitar kurun ke-18 dan ke-19, bertujuan berdagang sarang burung dan beberapa lagi hasil termasuk sirip ikan yu dan lada hitam.

Kaya pelbagai khasiat

Umum mengetahui khasiat sarang walet yang diperbuat daripada air liur burung yang mempunyai ciri fizikal kaki pendek, meluncur, tidak menenggek seperti burung lain serta memakan serangga sambil terbang. Antara khasiatnya sehingga menyebabkan permintaan tinggi adalah ia mampu menambah tenaga, meningkatkan imunisasi badan dan makanan tambahan untuk kecantikan. Ia banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina.

Disebabkan khasiatnya, permintaan terhadap sarang burung yang boleh dimakan ini juga tinggi. Kajian bertajuk Habitat Sebenar dan Persekitaran Sesuai, Faktor Mempengaruhi Kejayaan Pengeluaran Sarang Burung Boleh Dimakan di Malaysia yang disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan Pertanian Asia, Mac 2014, menganggarkan perniagaan sarang burung di dunia bernilai RM10 bilion. Bagaimanapun, bekalan bahan itu masih kurang 50 peratus berbanding permintaan global.

Harga dan permintaan tinggi terhadap sarang burung yang boleh dimakan ini menyebabkan ada sesetengah pihak dikesan menipu dengan menggunakan bahan lain menggantikan sarang burung asli.

Lebih memeranjatkan, kulit babi, agar-agar dan rumpai laut, antara bahan yang diguna bagi menggantikan sarang burung asli oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu meraih keuntungan dengan cara yang tidak betul.

Menyedari hal ini, sekumpulan penyelidik dari Bahagian Kosmetik dan Produk Semula Jadi, Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian Industri, SIRIM Berhad, berjaya menghasilkan teknologi yang mampu mengesan ketulenan sarang burung yang boleh dimakan.

Penyelidik kumpulan itu, S Thavamanithevi, berkata projek berkenaan bertujuan membangunkan ujian standard mengesan kadar asid sialik dalam sarang burung di Malaysia yang membolehkan pengeksport dan pengguna mendapat faedah daripadanya.

Sarang burung dari Malaysia antara yang paling berkualiti di dunia. Sarang burung ini diperoleh daripada dua sumber iaitu gua atau rumah burung. Ujian makmal membuktikan sarang burung sangat kaya dengan protein, karbohidrat, asid amino dan garam mineral.

Di Malaysia, sarang burung didapati antaranya di sekitar Sitiawan, Teluk Intan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Nibong Tebal, Kuantan, Muar, Segamat, Tangkak, Melaka, Tanjung Karang, Sabak Bernam dan Taiping.

Sebaik sarang diambil dari gua atau rumah yang disediakan, ia dibersihkan sebelum dihantar ke kedai untuk jualan. Jutaan sarang burung dari gua dan rumah burung di Malaysia, Indonesia dan Thailand dieksport untuk kegunaan masyarakat Cina di seluruh dunia dengan Taiwan, Hong Kong dan China sebagai pembeli terbesar.

Raih keuntungan mudah

"Asid sialik adalah bentuk utama karbohidrat (sembilan peratus) yang terkandung dalam sarang burung. Peningkatan permintaan sarang burung turut menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab memasarkan sarang burung tidak asli bagi meraih keuntungan. Justeru, kajian analitikal yang lebih berkesan dibangunkan untuk mengesan keaslian sarang burung.

"Ujian sedia ada memerlukan banyak sampel dan langkah pra-pemprosesan sarang burung (hydrolysed dan derivatization) terpaksa dilakukan sebelum analisis dilakukan. Kajian kami membolehkan ujian sama dijalankan tanpa memerlukan banyak sampel Walaupun sampel antara 0.5 gram hingga 5 gram, ia juga boleh dikesan," katanya.

Beliau berkata, teknologi pengesanan yang dibangunkan itu boleh digunakan di makmal. Ia menggunakan kaedah ujian HPLC (high performance liquid chromatography). Kaedah ini juga boleh digunakan sebagai Malaysian Standard.

Menerusi kajian itu, SIRIM mendapat kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Veterinar, manakala dari segi kewangan Kementerian Pertanian banyak membantu.

"Pengesanan produk ini ada di pasaran tetapi kaedah yang digunakan berlainan. Kaedah pengesanan asid sialik yang dibangunkan ini belum digunakan di pasaran," katanya.

Dengan ada teknologi itu, katanya, pengimport dan peniaga serta pengguna boleh menguji ketulenan produk sarang burung dalam tempoh singkat serta mudah. SIRIM turut menawarkan kemudahan itu kepada mana-mana pihak yang berminat.

Berita Harian X