Jumaat, 1 Mei 2015 | 11:53am

UEM rancang lancar projek bernilai RM3.7 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah UEM Sunrise Bhd merancang melancarkan empat projek termasuk projek antarabangsa dengan nilai pembangunan kasar RM3.7 bilion.

Bagaimanapun Pengarah Urusannya, Anwar Syahrin Abdul Ajid, berkata rancangan itu masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Kami boleh melancarkan sehingga RM3.7 bilion projek tahun ini, namun, kami perlu menilai pasaran (terlebih dulu), dari segi kadar pembelian, kadar kejayaan dan seterusnya. Tetapi kami bersedia (untuk melancarkannya)," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Projek yang sedang dibangunkan UEM Sunrise ketika ini, dalam dan luar negara mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM39.21 bilion.

Sasaran jualan syarikat itu bagi tahun ini ialah RM2 bilion meskipun pasaran hartanah yang sederhana dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Anwar berkata terdapat banyak permintaan bagi hartanah tetapi kekangannya adalah dalam mendapatkan pinjaman.

"Kami menerima banyak tempahan, tetapi mereka tidak boleh mendapatkan pinjaman. Ia adalah sesuatu yang kami perlu cari jalan penyelesaian.

"Kami perlu berbincang dengan institusi kewangan untuk melihat sama ada mereka perlu melonggarkan sedikit dari segi membolehkan orang ramai membeli rumah bagi tujuan pelaburan," katanya.

Anwar berkata UEM perlu mencari jalan untuk membantu pembeli dengan keseluruhan proses pembelian, termasuk memohon pinjaman.

Tahun lepas, kumpulan itu mencatatkan jualan berjumlah RM2.4 bilion disumbang daripada projek Aurora Melbourne Central, Residensi 22 dan Symphony Hills, dengan jualan belum masuk akaun berjumlah RM5.3 bilion berbanding RM4.5 bilion pada 2013.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Anwar berkata orang ramai perlu menerima bahawa CBP adalah jalan penyelesaian kepada negara, sambil menjangkakan desas desus mengenai cukai baharu ini akan mereda apabila sampai penghujung tahun ini.

"Pada masa itu, akan ada bahagian kami sebagai pemaju perlu korbankan sebahagian margin kami untuk menyerap kesan CBP, namun apa yang kami boleh lakukan ialah memiliki lebih banyak kuantiti dan mungkin melihat kepada harga jualan kami dan sebagainya, jadi kami sebenarnya boleh mengekalkan sasaran jualan," katanya.

Anwar berkata strategi sekarang adalah untuk memastikan pelancaran hartanah tertentu mencapai pembeli sasaran khusus bagi memastikan kadar pembelian tinggi.

"Kami tidaklah mahu terlebih berjanji, tetapi penekanan kami adalah lebih kepada produk," katanya sambil menambah kualiti dan penjenamaan yang dibangunkan kumpulan itu selama bertahun-tahun ini akan memastikan hartanahnya popular dalam kalangan pembeli, walaupun kadang-kadang harga agak lebih tinggi. - BERNAMA

Berita Harian X