Jumaat, 1 Mei 2015 | 12:06am

Remaja terpengaruh media sosial


KETAGIHAN melampau remaja masa kini terhadap media sosial dilihat pendorong kepada pembentukan perilaku dan sikap agresif, sehingga ada yang sanggup bertindak membunuh diri.

Tindakan sedemikian boleh terjadi ekoran terlalu taksub, kecewa atau terpengaruh dengan kandungan di media sosial sehingga diri gagal membuat pertimbangan wajar.

SEBANYAK 389 kes buli siber dilaporkan pengguna internet melalui Pusat Bantuan Cyber999 sepanjang tahun lalu.

Contohnya dalam kes pernah dilaporkan dalam akhbar Jun tahun lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Johor cuba membunuh diri selepas tidak tahan menjadi mangsa buli kenalan Facebooknya yang mahu menyebarkan gambar lucah beliau di media sosial.

Satu lagi kes berlaku ke atas seorang gadis di Crystal Lake, Florida, Rebecca Sedwick, 12, yang mengambil keputusan membunuh diri selepas dibuli dua rakannya sejak setahun lalu.

Di Malaysia, sebanyak 389 kes buli siber dilaporkan pengguna internet melalui Pusat Bantuan Cyber999 sepanjang tahun lalu, meningkat 55.6 peratus berbanding 250 kes pada 2012.

Kajian dijalankan CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunication Sdn Bhd pada 2013, membabitkan 9,651 pelajar dari 459 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mendapati 13 peratus daripada responden iaitu 1,255 pelajar mengaku sedang menjadi mangsa buli siber manakala 26 peratus atau 2,509 mengaku pernah menjadi mangsa buli siber.

KANAK-KANAK dan remaja adalah kumpulan majoriti pengguna Internet di negara ini.

Pakar psikologi dan kaunseling, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, menjelaskan situasi itu tidak pelik memandangkan remaja kini gemar menjadikan gajet dan media sosial sebagai sumber rujukan.

Katanya, sumber rujukan ini tidak semestinya kandungan yang positif, malah sebahagian besar menjadikan aplikasi untuk mengakses perkara negatif dan tidak berfaedah.

"Kebiasaannya, 80 hingga 90 peratus penggunaannya lebih bertumpu kepada aktiviti penerokaan bagi mendapatkan maklumat baharu.

GOLONGAN remaja dan kanak-kanak mudah terpengaruh dengan kandungan di media sosial.

"Sebab itu mengapa hari ini remaja begitu tertarik dengan kandungan gajet sehingga ada sebahagiannya menghabiskan waktu seharian mereka dengan hanya melayari internet," katanya.

Namun, apa yang dirisaukan kini, Dr Mohamed yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) berkata, penggunaan media sosial atau gajet yang keterlaluan atau melebihi had telah mengundang dan menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan remaja.

Katanya, masalah seperti kurang interaksi dengan masyarakat dan suka menyendiri sehingga bertindak di luar kawalan seperti lari dari rumah, timbul disebabkan dua faktor iaitu individu serta peranan penjaga atau ibu bapa.

KETAGIHAN melampau remaja masa kini terhadap media sosial dilihat pendorong kepada pembentukan perilaku dan sikap agresif.

"Bagi individu, ada tiga punca yang mempengaruhi perilaku seperti itu iaitu menyalahguna media sosial; ketagihan melampau terhadap gajet serta manipulasi media sosial seperti cubaan menipu atau memburukkan orang lain.

"Sementara bagi ibu bapa atau penjaga pula, kurangnya kefahaman mengenai gajet dan dunia internet tanpa batasan, selain leka akan risiko penggunaannya, sedikit sebanyak mendorong kepada perubahan sikap anak-anak untuk bersikap lebih pasif," katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar gajet yang terdapat dan dijual di pasaran kini dari jenis Ipad, tablet dan telefon pintar adalah bersifat sekunder dan tidak realistik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kanak-kanak dan remaja adalah kumpulan majoriti pengguna Internet di negara ini iaitu kira-kira 14 peratus daripada 20.1 juta pengguna dan kebanyakan memiliki akaun Facebook.

Berita Harian X