Rabu, 29 April 2015 | 4:47pm

Cuepacs harap kerajaan umum 'hadiah istimewa' pada 1 Mei


PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (Gambar) ketika ditemui media selepas Seminar Kepimpinan Perdana CUEPACS Anjuran CUEPACS Malaysia yang diadakan di Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG), Batu Lintang. - Foto Jeakqleyn Yacho

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan mengumumkan 'hadiah istimewa' kepada penjawat awam sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda, berkata pemberian hadiah itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada penjawat awam yang berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti negara.

"Kenaikan produktiviti negara yang meningkat lebih 100 peratus seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan kesungguhan penjawat awam dan golongan pekerja di negara ini melaksanakan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka.

"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan Program Transformasi Ekonomi negara, tetapi amat sedih kerana masih ada pekerja di negara ini menerima gaji di bawah garis kemiskinan nasional," katanya selepas majlis perasmian Seminar Kepimpinan Perdana Cuepacs oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Misnu Taha, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Azih berkata kerajaan harus memperkenalkan gaji minimum RM1,200 sebulan kepada kakitangan sektor awam.

Beliau berkata pelaksanaan gaji minimum itu perlu memandangkan pekerja dan rakyat secara umumnya terpaksa menanggung kos kenaikan harga barang serta elemen cukai yang membebankan mereka.

Selain itu, katanya Cuepacs mahu supaya pelaksanaan 252 skim perkhidmatan awam termasuk kenaikan gaji seperti diumumkan Najib dalam pembentangan Bajet 2015, dapat disegerakan.

Ketika membentangkan Bajet 2015 pada 10 Oktober 2014, Najib memberi jaminan kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan awam termasuk skim kenaikan gaji, dan 81 daripadanya sudah dilaksanakan secara berperingkat.

Azih berkata kenaikan gaji 10 peratus itu sangat penting untuk memastikan penjawat awam menerima gaji pokok melebihi paras kemiskinan nasional, iaitu RM880 sebulan, terutama bagi Gred 11 hingga Gred 17.

Katanya pelaksanaan skim gaji minimum RM1,200 itu perlu disegerakan kerana dianggarkan kira-kira 700,000 penjawat awam masih menerima gaji pokok antara RM802 dan RM820 sebulan.

Sehubungan itu, katanya ramai dalam kalangan penjawat awam tidak mampu membeli rumah kos rendah atau rumah mampu milik, termasuk di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) walaupun harganya antara RM90,000 dan RM150,000 seunit.

"Tidak ada gunanya negara kita maju kalau masih ramai pekerja bergaji rendah dan tidak mampu memiliki rumah. Harga rumah meningkat RM30,000 setiap tahun dan jika gaji pekerja hanya bertambah RM80, sudah pasti mereka tidak mampu membeli rumah," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X