Ahad, 26 April 2015 | 12:01am

Saingan sihat di medan terbuka


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PENGUASAAN seimbang antara pengarang mapan yang memiliki ketekalan dalam kepengarangan khususnya novel dengan penulis generasi muda yang disegarkan dengan lalu lintas pemikiran pada era globalisasi.

Itulah gambaran keputusan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi II Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)-BH (Sayembara Penulisan II) yang diumumkan di Sri Satria, Putrajaya, Selasa lalu.

Lebih bermakna, keunggulan itu diperoleh selepas melalui persaingan di 'padang terbuka' apabila sayembara kedua terbabit tidak lagi mengehadkan penyertaan kepada penulis muda.

Angka 611 penyertaan daripada tiga kategori yang diterima itu menunjukkan perlawanan sengit sehingga senarai pendek yang dikemukakan oleh jawatankuasa memperlihatkan kematangan kepengarangan yang datang daripada pelbagai lapisan usia dan wilayah.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi II ITBM-PENA-BH di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sebanyak 70 karya daripada semua kategori kemudian dinilai oleh panel dari kalangan sarjana, pengkritik dan pengarang mapan yang diperakui memiliki kredibiliti, sekali gus menyaring pula senarai kategori novel sebanyak 20 manuskrip; kumpulan cerpen (24) dan kumpulan puisi (26).

Panel penilai kategori kumpulan puisi ialah Sasterawan Negara (SN), Prof Dr Muhammad Haji Salleh; SN, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Pegawai Perancang Bahasa dan pengkaji sastera, Mohamad Shahidan.

Kategori kumpulan cerpen pula diadili oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM) yang juga Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof Madya Dr Hashim Ismail dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Zainal Palit (Zaen Kasturi).

Juri bagi kategori novel ialah SN Datuk Dr Anuar Rethwan (Anwar Ridwan); Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dan Pensyarah APM UM, Prof Madya Dr Norhayati Abd Rahman.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan pingat berserta sijil kepada juara kategori Novel, Jong Chian Lai pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi II ITBM-PENA-BH di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Novelis mapan, cerpenis muda

Kategori novel dijuarai oleh Jong Chian Lai melalui karya Ah Fook; tempat kedua (Hasanuddin Md Isa, Sarjana Bangsa) dan Zahari Afandi (Embargo).

Sagu hati kategori itu pula dimenangi oleh Amer Hmzah L Kadir melalui Bedar Tanpa Laut; Neor Razak Neor Hashim (Berjalan di Negeri Suhad); Hafizah Iszahanid (Bukan Orangorang); Budiman Mahamood (Galau); Norhisham Mustaffa (Guran); Nazri Hussein (S.P.I.D.E.R (Teori Sang Labah-labah) dan Ruhaini Matdarin (Trivia).

Bagi kategori kumpulan cerpen, tempat pertama dimenangi oleh Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy melalui karya Pascasejarah, manakala tempat kedua ialah Syahidatul Munirah Badrul Munir (Lela Rentaka) dan ketiga adalah Jasni (Pembunuh Anarki).

Pemenang sagu hati ialah Abang Median Abang Said melalui Cacing di Dahi; Nazri Hussein (Cahaya Pelita Nurani); Ramli (Jenaka Si Darah Legenda); Mohd Ali Salim (Kapal Perang); Hafizah (Perempuan Berambut Merah); Siti Salbiah Raduan (Segara Lazuardi) dan Haizir Othman (Siaran Radio Lewat Pagi).


JUARA kategori puisi Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, Muhammad Lufti Ishak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kemenangan penyair rentas generasi

Dondang Pembukaan karya Muhammad Lutfi Ishak pula diperakukan oleh panel penilai sebagai juara kategori kumpulan puisi diikuti Matahari Itu Jauh (Mohd Rosli Nik Mat atau Rosli K Matari) dan Dongeng Perkebunan (Jasni Matlani).

Penyertaan yang mendapat sagu hati ialah Ceritera dari Daerah Luruh karya Hamir Habeed Mohd Abdul Settar; Dari Cinta kepada Cinta (Ramzah Dambul); Malam Hujan dan Oksimoron (Ramli Selamat); Merdeka Burung (Zainal Abidin Suhaili); Metamorfosis Kimchi (Lim Kim Hui); Sangkar Alam (Sholihin Osman) dan Sehelai Daun Kenangan (Rahimidin Zahari).

Novel Ah Fook disifatkan oleh juri sebagai karya yang memperlihatkan keunikan dari sudut pandang terbuka yang meraikan kepelbagaian agama, kepercayaan, bahasa dan budaya masyarakat di Sarawak.

"Tampak novel ini lahir daripada kajian yang teliti dan proses penulisan rapi. Plot pula dibina dengan kemas bagi menghasilkan naratif yang berkesan.

"Antara ciri dikesani ialah novel ini memerikan sejarah dan latar belakang pohon keluarga yang panjang dan kompleks. Akar pohon keluarga yang tertanam di China digali, pembesaran yang dihambat oleh getir ekonomi, sosial, serta politik diperhalusi dengan dahan serta ranting kehidupan keturunan yang sampai di Borneo diungkapkan," katanya.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan pingat berserta sijil kepada juara kategori puisi, Muhammad Lufti Ishak pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi II ITBM-PENA-BH di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Bentuk, bahasa bijaksana

Bagi Dondang Pembukaan pula, juri memperakukan kumpulan puisi itu kaya dengan kiasan dan metafora dari permulaan hingga ke akhirnya bagi mendukung tema utamanya, kebenaran hakiki yang ditujui.

"Keistimewaan puisinya terletak pada kaedah pengucapan dengan tipografinya prosaik. Setiap puisi dapat dilihat berjalinan dan kekuatannya lebih terserlah pada pengucapan bahasa figuratif yang ditenun secara cermat dan erat.

"Bahasanya memudahkan pemahaman pembaca di samping menikmati keindahannya dan turut memperkaya pengalaman dan membijaksanakan pembaca," katanya.

Pascasejarah yang disifatkan karya pascamoden dengan memanfaatkan aliran surealisme, simbolik dan analogikal itu, dipilih apabila isu, peranan serta hubungan penguasa digambarkan melalui idea sejarah untuk memanfaatkan pensejarahan termasuk berilhamkan peradaban Rom dan Greek.

"Pelbagai tema digarap termasuk isu politik, pendidikan, sosialisasi, kebebasan dalam sastera dan kemelayuan. Karya ini berkesan dari sudut moraliti yang disampaikan dengan unsur didaktik serta kemanusiaan disampaikan secara bijaksana, sekali gus meninggalkan impak mendalam," katanya.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan pingat berserta sijil kepada juara kategori cerpen, Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi II ITBM-PENA-BH di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kesuntukan masa, karya anti plot

Bagi Ahmad Fadhlil, kemenangannya dalam kategori kumpulan cerpen itu tidak disangka kerana ia menjadi percubaan pertamanya menghasilkan kumpulan cerpen kerana sebelum ini lebih dikenali dalam genre puisi.

"Asalnya, Pascasejarah ingin dizahirkan dalam bentuk novel tetapi disebabkan kesuntukan masa, ia dipecahkan menjadi kumpulan cerpen yang bersifat anti plot.

"Berbaloi nampaknya mencuba genre baharu dan mungkin juga tema yang ditampilkan dalam kumpulan cerpen ini iaitu 'dystopian fiction' jarang diketengahkan penulis tempatan dengan memetik beberapa peristiwa penting yang benar dalam sejarah menjadi faktor pemilihan buku ini sebagai pemenang hadiah utama," katanya.

Sementara itu, Muhammad Luthfi, berkata beliau tidak menganggap kemenangan itu bererti sudah mengalahkan penyair hebat seperti Rosli K Matari dan Rahimidin, iaitu rakan seangkatan yang banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu dalam penulisan puisi.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan penghargaan kepada Datuk Lat berikutan kemenangan tempat kedua Kartun Kampung Boy pada Gaiman Award 2014 di Jepun. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Konsep pantun Melayu, cari kebenaran

"Dondang Pembukaan sebenarnya naskhah puisi yang mengambil konsep soal jawab dalam pantun Melayu yang berkisar kepada anak muda yang mencari kebenaran dengan mendapatkan pencerahan dan penjelasan daripada lelaki budiman," katanya.

Sementara itu, Chian Lai menegaskan beliau tidak menulis Ah Fook semata-mata untuk sayembara kerana sebagai pengarang, proses kreatif berlaku setiap hari, sebaliknya ia disiapkan kebetulan sebelum tarikh penyertaan, sekali gus mengambil peluang berkenaan untuk menghantar manuskrip.

"Ah Fook ialah karya bersifat universal dan ia bukan mengenai bangsa Cina saja, sebaliknya bacaan masyarakat majmuk kerana ia turut mengutarakan konflik yang dihadapi semua seperti isu kahwin campur, silang budaya dan perbezaan adat resam.

"Kisah Ah Fook ini asalnya lebih panjang dengan sebahagian ceritanya masih berada dalam imaginasi, namun begitu tidaklah pula saya berhasrat untuk membuat sambungannya," katanya.

Info Hadiah Sayembara Penulisan II

Kategori Novel

  • Pertama: RM15,000
  • Kedua: RM12,000
  • Ketiga: RM9,000
  • Sagu hati: RM3,000

Kategori Kumpulan Cerpen

  • Pertama: RM10,000
  • Kedua: RM7,000
  • Ketiga: RM5,000
  • Sagu hati: RM2,000

Kategori Kumpulan Puisi

  • Pertama: RM10,000
  • Kedua: RM7,000
  • Ketiga: RM5,000
  • Sagu hati: RM2,000
Berita Harian X