Sabtu, 25 April 2015 | 12:07am

Ayam ungkep

MENU Ayam Ungkep yang dihasilkan Cef Junior Sous, Muhammad Arif Amin di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

AYAM 'ungkep' mungkin asing bagi segelintir masyarakat negara ini tetapi begitu popular dalam kalangan masyarakat Jawa. Rasanya cukup menarik dan boleh diratah begitu saja.

Sama ada menggunakan ayam tua, ayam kampung mahupun ayam biasa, rasanya tetap lazat. Makanan ini dimasak dengan rempah ratus yang menjadikan hidangan lebih menyelerakan.

Difahamkan, ia digelar masakan ungkep kerana membawa maksud tutup. Ini kerana ketika dimasak, ayam ini perlu ditutup ketika ia menggelegak.

Cara memasaknya ringkas dan cepat, hanya seperti membuat ayam goreng biasa. Namun yang membezakannya adalah rempah ratus digunakan bagi menambah kenikmatan dan lazat ayam ungkep itu.

Salah satu keistimewaan ayam ungkep kerana rempah ratus yang meresap hingga ke dalam tekstur dan menjadikan dagingnya lembut.

Santapan ketika pantang

Justeru, jika jemu dengan ikan bakar, daging atau ayam bakar ketika waktu pantang, apa kata jadikan ayam ungkep sebagai pengganti menu pantang anda kali ini.

Bukan saja lazat, ia mempunyai kebaikan dengan campuran bahan seperti ketumbar, halia dan kunyit yang bertindak menghangatkan tubuh.

Bagi Cef Junior Sous, Muhammad Arif Amin, dari Hotel Grand Blue Wave Shah Alam, berkata ayam ungkep biasanya dijadikan makanan pantang orang Jawa.    Beliau berkata, bukan saja lazat, hidangan ini berkhasiat dengan penggunaan rempah sebagai bahan asas.

"Ia kering dan boleh disimpan beberapa hari. Tidak mudah basi kerana dimasak dalam tempoh lama. Saya cadangkan, guna ayam kampung kerana ayam jenis ini lebih manis," katanya.

BAHAN-BAHAN yang diperlukan untuk membuat Ayam Ungkep oleh Chef Muhammad Arif's di Hotel Grand Bluewave Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Bahan-bahan

50gram(g) lengkuas

50g halia

100g bawang merah

50g bawang putih

80g biji ketumbar (dikisar)

50g biji jintan manis (dikisar)

50g biji jintan putih (dikisar)

2 sentimeter kunyit hidup

4batang serai (dititik)

1kilogram (kg) ayam

Cara-cara

LANGKAH 1- Masukkan ayam ke dalam periuk. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LANGKAH 2- Masukkan bawang yang dikisar ke dalam periuk yang berisi ayam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LANGKAH 3 - Semua bahan yang dikisar dicampurkan dan digaul sehingga sebati. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LANGKAH 4 - Semua bahan yang telah dikisar dicampurkan ke dalam periuk dan digaul sehingga sebati.. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LANGKAH 5 - Masukkan bahan kisar seperti biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih dan digaul sehingga sebati. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

LANGKAH 6 - Gaul sebati sehingga empuk. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

AYAM siap dihidang. Selamat mencuba. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Petua

Lembutkan ayam tua

* Sudu dimasukkan ke dalam masakan, ia cepat mendidih dan ayam cepat empuk. Selamat mencuba.

Ayam tidak hanyir

* Anda cuma ambil tepung gandum dan garam kasar. Basuh sehingga rasa lendir ayam hilang.

Berita Harian X