Khamis, 23 April 2015 | 4:16pm
SIDANG media GST oleh Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk T. Subromaniam di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Lebih banyak ubat, alat kesihatan dikecualikan GST - Kastam

PUTRAJAYA: Lebih banyak ubat-ubatan dan peralatan perubatan dalam perkhidmatan kesihatan akan dikecualikan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam.

Setakat ini, 4,214 jenis ubat-ubatan yang tersenarai di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) dan 126 jenis peralatan perubatan yang dibeli hospital atau klinik dikecualikan GST.

Subromaniam berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menambah lagi jumlah NEML serta peralatan perubatan yang sifar GST.

"Pelepasan GST itu diharap dapat membantu kemudahan jagaan kesihatan swasta mengurangkan kos menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah," katanya pada sidang media mengenai GST, di sini, hari ini.

Subromaniam juga menjelaskan, hanya dua jenis roti iaitu roti putih dan roti 'wholemeal' diberi pelepasan GST manakala roti lain di pasaran dikenakan GST.

"Ini kerana tujuan kerajaan menjaga golongan berpendapatan rendah dengan memberi pelepasan kepada barangan makanan asas, termasuk tiga jenis minyak masak iaitu kelapa sawit, kelapa dan kacang tanah," katanya.

Ditanya mengenai rungutan pengguna mengenai harga bertindih apabila membeli kad prabayar, Subromaniam berkata, syarikat telekomunikasi telah diminta untuk membuat kajian mengenai perkara itu serta mengambil pandangan pelanggan supaya perkara ini diselesaikan secara baik.

"Isu ini dijangka akan selesai pada Mei dan harapan kami ialah keputusan yang diambil, akan menguntungkan pengguna. Kalau RM10 eksklusif, sudah tentu akan ada nilai tambah dari segi masa perbualan. Itu sebab syarikat telekomunikasi minta masa sedikit untuk membuat kajian," katanya.

Subromaniam dalam pada itu memaklumkan kutipan GST atas pengimportan barangan sehingga semalam berjumlah RM922 juta.

Beliau juga berkata, JKDM mempunyai lebih 3,000 pegawai dan anggota untuk melakukan audit serius terhadap kutipan GST pada bulan depan selepas perniagaan mula memfailkan penyata cukai masing-masing.

Sebanyak 373,668 syarikat telah berdaftar untuk GST hingga semalam. - BERNAMA

Berita Harian X