Khamis, 14 Ogos 2014 | 1:07pm

KDNK suku kedua dijangka lebih enam peratus

KUALA LUMPUR: Kalangan ahli ekonomi mengunjurkan ekonomi Malaysia meneruskan arah aliran pertumbuhan mapan pada suku kedua didorong peningkatan permintaan luaran dan domestik.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) esok.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau menjangkakan kadar pertumbuhan KDNK pada suku kedua berada pada tahap yang amat memberangsangkan iaitu 6.5 peratus.

Prestasi itu adalah lebih baik berbanding pertumbuhan pada suku pertama tahun ini iaitu 6.2 peratus.

Beliau berkata, antara faktor yang dijangka menyumbang kepada prestasi itu adalah peningkatan permintaan di dalam sektor luaran dan juga kestabilan ekonomi domestik.

"Ini berikutan pertumbuhan eksport pada suku kedua yang berada pada kadar 14.3 peratus berbanding 10.9 peratus yang dicatatkan pada tempoh sebelumya," katanya dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, katanya, pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada suku kedua juga berada pada kadar yang sangat baik iaitu 5.8 peratus berbanding tempoh sebelumnya, 4.7 peratus.

Bagaimanapun, katanya, momentum pertumbuhan bagi tempoh separuh tahun kedua dijangka mengalami sedikit penurunan berikutan "faktor asas" yang tinggi pada separuh tahun kedua tahun lalu.

"Secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi pada tahun 2014 dijangka kekal kukuh dengan pertumbuhan dijangka pada kadar 5.5 peratus," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi MIDF Research, Maslynnawati Ahmad, pula berkata beliau mengunjurkan pertumbuhan KDNK suku kedua 5.8 peratus.

Katanya, dengan mengambil kira data IPP suku kedua yang baik, KDNK patut mencatat peningkatan lebih tinggi tetapi tersekat dengan data lebihan dagangan yang mencatat kenaikan lebih rendah berbanding suku pertama.

"Permintaan domestik yang lebih sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup turut menjadi faktor pertumbuhan lebih rendah pada suku kedua," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research tidak menyatakan unjuran suku kedua tetapi menaikkan unjuran KDNK bagi 2014 kepada 5.7 peratus daripada 5.5 peratus sebelumnya.

Unjuran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan indeks IPP suku kedua yang lebih kukuh berbanding jangkaan.

"Berdasarkan dua suku tahunan yang mencatat pertumbuhan KDNK kukuh lebih 5.5 peratus tahun ke tahun, kami kini mengunjurkan BNM akan terus mengembalikan kadar normal pada September ini dengan menaikkan 25 mata asas," kata HLIB.

Berita Harian X