Sabtu, 6 September 2014 | 10:18am

Ringgit dijangka terus lemah minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS minggu depan disebabkan pelabur terus mengambil langkah berhati-hati dengan ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan politik di Ukraine, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, sentimen itu semakin buruk selepas Perdana Menteri Ukraine, Arseni Yatsenyuk menolak cadangan pelan gencatan senjata di timur Ukraine dengan Presiden Russia, Vladimir Putin pada Rabu lalu.

Katanya, unjuran menurun bagi mata wang tempatan itu mungkin turut memberi kesan ke atas pasaran komoditi.

Naib Presiden Affin Investment Bank dan Ketua Penyelidikan Runcitnya, Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata memandangkan ringgit adalah antara pasaran yang mempunyai kaitan rapat dengan Indeks Komoditi dan euro, trend ini mungkin tidak baik untuk komoditi tempatan secara meluas dan pasaran tempatan.

"Contoh terbaik kenaikan yang tidak digemari ialah dolar telah melonjak berbanding kebanyakan mata wang Asia termasuk ringgit, dengan dolar US naik 4.8 peratus manakala ringgit turun 2.2 peratus sejak Ogos 2014.

"Persoalan besar untuk pasaran kekal sama ada akhirnya, Bank Pusat Eropah (ECB) akan melaksanakan program pelonggaran kuantitatif berskala penuh (QE) atau tidak, kerana tidak ada persetujuan ECB ke atas QE secara jelas dalam zon euro," katanya.

Beliau berkata, berbanding dasar tegas ECB, keputusan mesyuarat bank-bank pusat di UK dan Jepun lebih lembut, tanpa sebarang perubahan yang jelas ke atas dasar rangsangan.

"Kita percaya penurunan kadar ECB yang tidak banyak berubah dan kejutan peningkatan AS, menunjukkan ekuiti global terdedah kepada lebih penyatuan, dengan Rizab Persekutuan Rizab beralih ke arah dasar mengembalikan monetari ke paras normal," katanya.

Semalam, ringgit susut kepada 3.1810/1840 bagi setiap dolar AS berbanding 3.1510/1530 pada Jumaat lepas.

Ia mengakhiri minggu ini kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.5345/5387 daripada 2.5256/5277 pada minggu lepas tetapi mengukuh berbanding pound British kepada 5.1895/1957 daripada 5,2300/2337.

Ringgit meningkat berbanding euro pada 4.1194/1239 daripada 4.1527/1560 pada Jumaat lepas dan maju berbanding yen kepada 3.0220/0255 daripada 3.0324/0349 sebelum ini.

- BERNAMA

Berita Harian X