Jumaat, 17 April 2015 | 9:54am
PRESIDEN Nigeria, Goodluck Jonathan. - Foto ihsan The Net

Nigeria tidak perlukan tentera PBB perangi pemberontak - Presiden

ABUJA: Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negaranya tidak memerlukan bantuan tentera antarabangsa yang dinaungi badan dunia itu untuk memerangi pemberontak Boko Haram.

Jonathan yang bakal meninggalkan jawatan Presiden dalam satu kenyataannya berkata, beliau mahu PBB memberi lebih tumpuan dalam bantuan pemulihan komuniti dan pihak yang menerima kesan akibat pemberontakan yang berlarutan selama enam tahun itu.

Beliau berkata demikian selepas menemui wakil khas kepada Setiausaha Agung PBB bagi wilayah barat dan tengah Afrika, Mohammed Ibn Chambas dan Abdoulaye Bathily hari ini.

Agensi Pelarian PBB sebelum ini berkata, kira-kira 1.5 juta rakyat sudah berpindah akibat keganasan Boko Haram di utara Nigeria manakala lebih 13,000 penduduk terbunuh.

Jonathan berkata, menerusi bantuan tentera dari Chad, Niger dan Cameroon, tentera Nigeria sejak beberapa bulan lalu berjaya merampas semula beberapa pekan dan perkampungan yang dikuasai kumpulan Islam Boko Haram di negeri utara iaitu Borno, Adamawa dan Yobe. - AFP

Berita Harian X