Ahad, 12 April 2015 | 6:00am

Peniaga tak daftar kenakan GST kelirukan pengguna

Pada 1 April lalu, secara rasminya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan di Malaysia. Seperti diduga, kelahiran GST yang mengenakan cukai pada kadar enam peratus terhadap jualan barangan dan perkhidmatan di negara ini mendapat maklum balas pelbagai daripada komuniti peniaga serta pengguna.

Seperti dijangka juga, wujud beberapa isu dan masalah selepas beberapa hari ia dilaksanakan, terutama kekeliruan mengenai harga bagi barangan yang dikelaskan sebagai sifar cukai dan dikecualikan daripada GST. Selain itu, masih ramai peniaga dan premis perniagaan belum lagi bersedia melaksanakan sistem cukai yang baharu ini dan terpaksa menulis nombor pendaftaran GST dengan tangan pada resit jualan.

Namun, isu yang paling ketara diperkatakan dan dikesali pengguna ialah mengapa harga barangan dan perkhidmatan, terutama yang termasuk dalam kategori sifar dan dikecualikan cukai tetap meningkat selepas GST dilaksanakan. Sebagai contoh, tindakan syarikat telekomunikasi tetap mengenakan caj enam peratus GST pada kad tambah nilai prabayar telefon bimbit adalah antara isu yang hangat diperkatakan pengguna.

Campur tangan KDRM

Isu itu kemudian diselesaikan selepas campur tangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi. Isu lain yang menghantui pengguna ialah tindakan peniaga menaikkan harga barangan dan perkhidmatan walaupun mereka tidak mendaftar dalam Pendaftaran GST atas alasan barangan dibeli daripada pembekal atau pemborong sudah dikenakan GST.

Justeru, peniaga terbabit mendakwa mereka tidak ada pilihan melainkan perlu menaikkan harga barangan bagi mengelak kerugian. Tindakan sama turut dilakukan pemilik kedai runcit di kampung atau pinggir bandar, peniaga pasar malam, pemilik restoran, gerai menjual nasi lemak atau makanan tepi jalan atas alasan sama.

Apa yang berlaku ini menimbulkan kebimbangan kepada pengguna kerana melihat peniaga merujuk kepada pelaksanaan GST untuk menaikkan harga sesuka hati termasuk ke atas barangan yang tidak dikenakan GST. Mengulas permasalahan ini, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman percaya, pelaksanaan GST sebenarnya belum difahami sepenuhnya peniaga dan pengguna.

Cuma, masalah utama mewarnai pelaksanaan GST ialah ia diambil kesempatan oleh peniaga sama ada yang berdaftar atau tidak untuk meraih keuntungan dengan menaikkan harga.

"Ini yang menjadi kebimbangan FOMCA iaitu bagaimana persiapan KDRM dan KPDNKK untuk menangani isu ini. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan tiada peniaga memanipulasi harga apabila GST dilaksanakan," katanya.

Namun, menurutnya, FOMCA percaya masalah yang timbul atau berlaku ini tidak serius tetapi apa yang berlaku ketika ini adalah salah tanggap atau persepsi salah masyarakat terhadap GST. Mohd Yusof menjelaskan, FOMCA mendapati pengguna dan masyarakat hari ini mempunyai persepsi pelaksanaan GST akan menaikkan harga barang.

Masyarakat juga dikelirukan dengan sikap segelintir peniaga yang membuat kenyataan mengelirukan kepada pengguna kononnya semua barang mengalami kenaikan harga disebabkan pelaksanaan GST.

"Hakikatnya, apabila GST dilaksanakan, akan ada harga barang yang naik dan ada juga yang sepatutnya turun. Ini yang FOMCA harapkan daripada pihak kerajaan untuk membetulkan persepsi masyarakat.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu bertegas melaksanakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 agar masyarakat yakin dengan pelaksanaan GST. Kerajaan sebelum ini pernah mengatakan yang GST tidak akan membebankan pengguna," katanya.

Mohd Yusof juga kesal dengan sikap peniaga dan pemborong yang mengambil kesempatan di sebalik pelaksanaan GST ini untuk menaikkan harga barang. Jelas beliau, masalah yang berlaku ketika ini ialah harga barangan dipengaruhi oleh pemborong dan peruncit, sekali gus menyebabkan pengguna yang menjadi pihak menanggung GST.

Iklan pasaraya serap GST

Seperkara lagi yang perlu diteliti semula oleh kerajaan, kata Mohd Yusof ialah iklan atau ketetapan dibuat peniaga atau pasaraya yang mendakwa mereka akan menanggung atau menyerap GST bagi setiap barangan dibeli pengguna di premis mereka. Ketetapan ini menurut FOMCA boleh mengelirukan pengguna dan jika mengikut KDRM, ia tidak boleh dilaksanakan oleh peniaga atau pasaraya.

Bagaimanapun, selepas langkah berkenaan mendapat sokongan menteri tertentu, FOMCA menasihatkan pengguna agar memeriksa harga barang dijual dan berapa nilai GST yang sudah diserap oleh peniaga.

"Peniaga perlu menunjukkan dalam sistem yang dapat menunjukkan dengan jelas berapa harga sebenar barang itu, jumlah yang dikenakan cukai dan berapa pengguna perlu bayar. Dalam hal ini, pengguna perlu peka dan teliti agar tidak tertipu kerana mereka sepatutnya hanya akan membayar harga asal barang dan tidak termasuk GST," katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan pengguna kemungkinan mereka akan membayar cukai dua kali selepas GST dilaksanakan, Mohd Yusof mengakui FOMCA ada menerima aduan mengenai perkara ini, berkaitan caj perkhidmatan pihak restoran dan hotel yang dianggap tidak adil oleh pengguna.

Cari pendekatan terbaik

Dalam hal ini, Mohd Yusof berkata, FOMCA berharap kerajaan dapat mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah ini kerana ia bukan berada di bawah bidang kuasa KPDNKK atau KDRM.

Walaupun Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad mengumumkan semua restoran dan hotel tidak lagi dibenarkan mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan sekiranya tidak mempunyai perjanjian bersama antara pekerja dan majikan, ia sukar untuk diketahui.

"Isu caj perkhidmatan ini agak unik kerana KPDNKK dan KDRM mendakwa ia bukan di bawah bidang kuasa mereka. Ia mungkin di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia," katanya. Caj perkhidmatan menjadi polemik terbaru dalam pelaksanaan GST memandangkan ia dikenakan oleh restoran dan hotel bagi menggantikan bayaran 'tip' oleh pengguna kepada pekerja.

"Jika hendak dikawal selia, mungkin kerajaan perlu memastikan dengan betul agar caj perkhidmatan itu dimasukkan ke dalam surat perjanjian dengan pekerja. Bermakna pekerja itu berhak untuk terima hasil daripada caj perkhidmatan itu dalam gaji mereka," katanya.

Walaupun begitu, FOMCA, kata Mohd Yusof berpendirian caj perkhidmatan patut dimansuhkan kerana pengguna terpaksa membayar dua kali iaitu caj perkhidmatan dan GST kerana caj itu dikenakan GST.

Menurut Mohd Yusof, FOMCA amat mengharapkan kerajaan bertegas apabila mengambil tindakan terhadap peniaga yang enggan melaksanakan GST atau memanipulasi harga menerusi pelaksanaan GST.

Berita Harian X