Sabtu, 11 April 2015 | 9:04am

71 askar Chad terbunuh perangi Boko Haram

N'DJAMENA: Seramai 71 askar Chad terbunuh manakala 416 lagi cedera dalam tempoh kurang daripada tiga bulan dalam memerangi kumpulan pemberontak Boko Haram, demikian menurut tentera Chad hari ini.

Chad sudah menghantar kira-kira 5,000 askarnya untuk bersama tentera Nigeria, Niger dan Cameroon bagi memerangi kumpulan perkauman yang berpangkalan di Nigeria itu apabila ia mula merebak ke negara jiran lain.

Kebanyakan pertempuran berlaku di selatan Lake Chad dan di timur laut Nigeria yang kebelakangan ini dilaporkan beransur dipatahkan.

Panglima Tentera Chad, Jeneral Brahim Seid memberitahu pemberita di ibu negara N'Djamena bahawa askarnya terbunuh sejak 3 Februari hanya untuk mempertahankan keselamatan dan keamanan di wilayah berkenaan.

"Mereka mempertahankan 11 komuniti di Cameroon, Niger dan Nigeria daripada jatuh kepada Boko Haram," katanya.

"Tentera Chad akan terus memburu pengganas Boko Haram ini walau di mana mereka ditemui," katanya. - AFP

Berita Harian X