Sabtu, 11 April 2015 | 12:01am
LAI Chi Kang Restoran Embun Urai menyegarkan. - Foto Aziah Azmee
TEH Thai Restoran Embun Urai. - Foto Aziah Azmee
HIDANGAN Tomyam Seafood Kelapa Muda Special Restoran Embun Urai. - Foto Aziah Azmee
HIDANGAN Tok Man Udang Restoran Embun Urai. - Foto Aziah Azmee

Lemang Sushi di Restoran Embun Urai


Restoran Embun Urai milik Mila Jirin di Taman Tasik Prima, Puchong. - Foto Aziah Azmee

LEMANG sajian tradisi menjelang perayaan diketahui enak dimakan bersama rendang dan serunding. Hidangan menyajikan ramuan beras pulut dan santan itu dimasak dengan cara memasukkannya ke dalam ruas buluh, dilapik daun pisang sebelum dibakar hingga masak.

Entah sejak bila makanan ini wujud, tetapi sehingga hari ini, lemang masih menjadi sajian istimewa dengan cara penyediaannya yang tersendiri.

Kebiasaannya, kita akan menemui lemang pada hari raya. Namun, mengetahui bahawa permintaan lemang ada pada setiap masa, penyanyi kecil molek, Mila Jirin menjadikan ia sebagai antara menu istimewa di Restoran Embun Urai di Puchong Prima, Selangor.

Selain disajikan secara tradisional, lemang di restorannya juga digabungkan dengan gaya menu Jepun dikenali lemang sushi, dan itulah tarikan utama menu di restorannya.


MILA Jirin di Restoran Embun Urai miliknya di Taman Tasik Prima, Puchong. - Foto Aziah Azmee

Mudah disediakan, tahan lama

Menurut Mila, lemang ala sushi Jepun diilhamkan oleh Chef Kamarul Imran Ismail. Pada mulanya ia sekadar menjadi menu terbaharu yang diperkenalkan sebagai antara juadah istimewa berbuka puasa pada Ramadan barubaru ini.

"Tahun lepas diperkenalkan tomyam khum dan sambutannya menggalakkan. Kali ini, Chef Kamarul mengesyorkan inovasi lemang mengambil inspirasi sushi namun menampilkan lima pilihan perisa sesuai cita rasa tempatan iaitu ayam kari krim, masak masala, rendang ayam dan daging serta ayam tika yang berperanan sebagai inti hidangan itu," katanya sebelum memberitahu, kebanyakan pelanggannya lebih tertarik dengan rasa rendang berbanding yang lain.


HIDANGAN Chicken Chop Restoran Embun Urai. - Foto Aziah Azmee

Katanya, lemang itu mudah menambat selera ramai kerana tidak renyah disajikan berikutan tidak memerlukan hidangan pelengkap rendang dan serunding yang biasanya dicicah bersama makanan itu.

"Tidak perlu susah payah menyediakan cicahan, sebaliknya potong buluh, keluarkan isi sebelum dipotong kecilkecil sebagaimana sushi. Ia boleh bertahan tiga hari dan hanya perlu dipanaskan dalam ketuhar sebelum dihidangkan," ujarnya.


CHAR Kuay Teow Restoran Embun Urai. - Foto Aziah Azmee

Masakan Thailand pikat pelanggan

Bihun gulung Siam yang disediakan bersama bungkusan telur dadar dan kerabu makanan laut, kerabu somtam dihasilkan daripada adunan ramuan betik, cili, udang kering diimport khas dari Thailand adalah menu istimewa di Restoran Embun Urai.

Selain itu, tomyam makanan laut dihidang dalam kelapa muda, Pok Man Udang iaitu kudapan dihasilkan daripada udang dicincang halus hingga menjadi pes sebelum digoreng bersama tepung dan kacang panjang hingga minuman Cha Thai atau teh hijau didatangkan khusus dari Thailand menjadi sebahagian sebab pelanggan melakukan kunjungan ulangan.

Ditanya mengenai dominasi masakan ala Thai ditawarkan di restorannya, Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin berterus terang sungguhpun tiada sangkut paut dengan negeri dikenali dengan simbol gajah putih itu namun mengaku antara peminat tegar masakan dari negara itu.


KOLEKSI The Ice Cream Sunday.

Tolak menu ekstrem

Gadis berasal dari Pulau Pinang itu menganggap masakan Thailand sudah sebati dan selera dengan lidah masyarakat tempatan.

"Ketika mula mengambil alih restoran ini dua tahun lalu, saya pernah menyuruh tukang masak menyenaraikan menu difikirkan mampu mendapat sambutan ramai dan selepas melalui beberapa ujian rasa, saya memilih hidangan Thai selaku menu utama," ujarnya.

Katanya, ada masakan Thai yang ditolak mentah-mentah seperti Yaprik yang bukan saja terlalu pedas tetapi boleh memudaratkan kesihatan jika diambil dalam kuantiti banyak.

"Masakan itu memasukkan banyak sangat cili padi hingga pedasnya luar biasa. Saya tidak sediakan kerana terlalu ekstrem untuk diterima pelanggan terutama kanakkanak," katanya.

RESTORAN EMBUN URAI
- Lokasi: Prima Biz Hub, Jalan Tasik Prima 5/1, Taman Tasik Prima, Puchong
- Menu Baharu: Sushi lemang
- Menu Utama: Kerabu Somtam diimport khas, Tomyam makanan laut dalam kelapa muda, sup ekor dan tulang istimewa

Berita Harian X