Jumaat, 5 September 2014 | 3:23pm
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel (tiga dari kiri) dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke kawasan pembakaran terbuka di Johan Setia. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria.

Langkah baharu atasi pembakaran terbuka di Johan Setia - Palanivel

KLANG: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi aktiviti pembakaran terbuka di kawasan Johan Setia di sini yang turut mengakibatkan masalah kesihatan serius kepada penduduk.

Menterinya, Datuk Seri G Palanivel, berkata antara langkah terbaharu yang diambil ialah memasang satu unit alat memantau kualiti udara di Bandar Puteri pada 12 Ogos lepas bagi mengukur jumlah habuk terampai dan menentukan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia.

"Kita juga telah membina lima 'check dam' di Johan Setia bagi mengawal sistem saliran di tanah gambut agar tidak menjadi kering dan mudah terbakar," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke kawasan pembakaran terbuka Johan Setia hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima aduan bahawa banyak kanak-kanak dari kawasan berdekatan Johan Setia khususnya Bandar Parklands, Bandar Puteri dan Bandar Putera dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat kesukaran bernafas berikutan pembakaran terbuka yang dilakukan.

Katanya, pihaknya kini menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti pemilik tanah di Johan Setia yang terlibat dalam pembakaran terbuka dan akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah bagi mengenal pasti mereka.

Johan Setia adalah kawasan pertanian Revolusi Hijau dan kawasan tanah gambut yang kerap diadakan pembakaran terbuka semasa musim panas dan kering.

Selain Johan Setia, aktiviti pembakaran terbuka juga didapati berlaku di kawasan sekitar termasuk Jalan Kebun, Lebuhraya KESAS, Bandar Puteri, Bandar Putera dan Bandar Parklands.

- BERNAMA

Berita Harian X