Khamis, 9 April 2015 | 4:32pm

Liga Super: Sime Darby ikat pemain Brazil, Reinaldo


PEMAIN import Sime Darby yang baharu, Reinaldo Elias da Costa. - Foto ihsan operario.com

KUALA LUMPUR: Pasukan kelab Liga Super, Sime Darby FC akhirnya menamatkan kontrak pemain tengah import dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov dan mengesahkan pengambilan penyerang import baharu, Reinaldo Elias da Costa yang lulus ujian perubatan, hari ini.

Jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria berkata, Reinaldo yang kini berusia 31 tahun adalah berasal dari Brazil tetapi layak untuk mengisi slot satu pemain import dari Asia menggantikan Sharofetdinov memandangkan dia memiliki pasport Australia.

"Saya terpaksa membuat keputusan untuk menggugurkan Dilshod kerana prestasinya dilihat semakin hari semakin longlai sedangkan dia sudah masuk musim kedua bersama kita.

"Jadi saya harap kehadiran Reinaldo dapat menajamkan penyudah kita di barisan depan dan sebagai seorang pemain dari Brazil, sudah tentu dia memiliki kelebihan terutama dari aspek kawalan bola," kata Ismail ketika dihubungi, petang ini.

Reinaldo yang berketinggian 1.94 meter dilihat sudah biasa beraksi di negara Asia memandangkan dia pernah menyarung jersi kelab Australia, Brisbane Roar dari tahun 2006 hingga 2008, Al Wakrah (Qatar) dan Al Raed (Arab Saudi) sebelum menyertai kelab China, Beijing Guoun pada 2012.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Sime Darby hampir pasti mengekalkan trio import mereka dari Serbia - Nemanja Vidakovic, Marko Perovic dan Ivan Dragicevic yang diambil pada awal musim ini.

"Kita sudah mendaftar nama Reinaldo dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini dan harap Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dapat diperoleh dalam tempoh terdekat ini supaya dia dapat diturunkan apabila Sime Darby bertemu Sarawak di Kuching, Sabtu ini," jelas Ismail.

Pintu perpindahan kedua dari 1 April lalu hingga 28 April ini membenarkan setiap pasukan menukar maksimum tiga pemain import dan tiga pemain tempatan dan Ismail turut tidak menolak kemungkinan seorang bekas pemain tempatan mereka musim lalu akan kembali ke pasukan itu.

"Tunggulah sehari dua ini. Ada sedikit perkara lagi untuk diselesaikan. Jika dia kembali, ia dapat mengukuhkan semula posisi tengah kita selepas ketiadaan Dilshod," tambah Ismail.

Sime Darby kini di tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul satu mata, tanpa sebarang kemenangan, sekali seri dan tewas lima kali, namun mereka masih bersaing pada suku akhir Piala FA iaitu seri 1-1 dengan Kelantan pada aksi pertama di Selayang, Selasa lalu.

Berita Harian X