Khamis, 9 April 2015 | 12:02am

Nilai semula piawaian mi segera


KUALA LUMPUR: Piawaian ramuan mi segera wajar dinilai semula bagi memastikan bahan kimia berbahaya tidak lagi terkandung dalam hidangan itu yang popular dalam kalangan rakyat negara ini.

Ini kerana bahan seperti lilin, sodium, natrium dan monosodium glutamate (MSG) yang terkandung dalam mi segera jelas boleh memudaratkan kesihatan mereka yang memakannya.

Pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM), wajar merombak kebenaran penggunaan ramuan berkenaan biarpun ia dikatakan mematuhi piawaian antarabangsa.

Justeru, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa KKM mengharamkan segera penggunaan sodium, natrium dan MSG dalam pengeluaran mi segera.

Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tabiat pemakanan tidak seimbang rakyat kini mewajarkan supaya tindakan seumpama itu diambil.

Beliau berkata, biarpun bahan terbabit dibenarkan dalam penyediaannya, namun kerajaan perlu juga prihatin dengan cara serta tabiat pemakanan pengguna di negara ini.


PENGARAH Komunikasi Kumpulan FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman. - Foto Saifullizan Tamadi

"Kita akui bahawa kandungan natrium atau sodium dan MSG yang terdapat dalam setiap bungkus mi segera dibenarkan, tapi kini yang dirisaukan adalah kaedah pengambilannya yang berlebihan dan kerap.

"Mendidik pengguna untuk kurangkan atau halang pengambilannya (mi segera) mungkin sukar, jadi sebaiknya mengharamkan penggunaannya di peringkat pengeluar," katanya ketika dihubungi BH Online.

Yusof berkata, pengeluar mi segera juga perlu sama bertanggungjawab dengan hanya tidak menghasilkan produk bagi memenuhi cita rasa pengguna, sebaiknya mengambil kira elemen kesihatan.

Katanya, sikap pengeluar yang hanya mencari keuntungan hasil jualan produk itu tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna cukup dikesali.


MAJORITI mi segera mengandungi 'wax' atau lilin.

"Persoalan kini adalah sampai bila? Sebab itu, wajar pengawalannya bermula dengan tindakan mengharamkan penggunaannya dalam proses pengeluaran produk terbabit yang kini sudah dipraktikkan di beberapa negara maju lain," katanya.

Beliau juga berkata, di kebanyakan negara maju, penggunaan bahan seperti itu sudah mula diharamkan. Justeru, bukan terlalu sukar bagi Malaysia mengambil pendirian sama.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris pula mahu pengharaman penjualannya disegerakan demi kesihatan pengguna.

Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik bagi mengawal penjualannya kerana makanan terbabit kini sudah menjadi antara produk kegemaran dan permintaan ramai, khususnya generasi muda.


MI segera perlu direndam dalam air panas bagi mengeluarkan 'wax' atau lilin.


KAEDAH untuk mengasingkan 'wax' atau lilin dalam mi segera.

"Pelbagai bahan kimia yang terdapat dalam mi segera juga boleh menyebabkan kanser. Sehubungan itu, produk itu bukanlah produk yang sesuai untuk diet," katanya.

BH semalam melaporkan Bahagian Pemakanan KKM memaklumkan tidak boleh menghalang penjualan produk itu selagi ia mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Bagaimanapun, KKM mengakui mi segera yang hanya disedia berserta bahan perencahnya adalah kurang berkhasiat kerana hanya membekalkan tenaga dan sangat rendah kandungan nutrien.

Berita Harian X