Jumaat, 5 September 2014 | 10:41am

Inbisco sasar pertumbuhan 30 peratus tahun depan

wazzan@bh.com.my

JAKARTA: Inbisco Marketing & Sales Sdn Bhd (Inbisco), pengedar eksklusif makanan dan minuman jenama Kopiko di Malaysia, menyasarkan meraih pertumbuhan jualan sebanyak 30 peratus tahun depan.

  Sasaran itu lebih rendah berbanding 33 peratus yang dicapai tahun lalu dibuat sejajar pelarasan unjuran jualan syarikat berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Malaysia mulai 1 April tahun depan.

  Pengurus Negara bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Ng Kin Kok, berkata pelaksanaan GST dijangka memperlahankan jualan dalam industri dan syarikat tidak terkecuali daripada menerima kesannya.

Bagaimanapun, syarikat masih mengkaji kesan menyeluruh GST kepada jualan produk, justeru sedang merumus kaedah untuk mengurangkan kesannya terhadap syarikat dan pengguna.


ANTARA produk keluaran syarikat Inbisco Marketing & Sales Sdn Bhd.

"Kami berharap pelaksanaan GST tidak akan menyebabkan kenaikan kos dengan ketara kerana kami sedaya upaya cuba untuk tidak menaikkan harga produk," katanya pada lawatan media Malaysia ke kilang kopi PT Torabika Eka Semesta milik Kumpulan Mayora di Chikupa, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Pengarah/Ketua Pemasaran Global Kumpulan Mayora, Ricky Afrianto dan Pengarah Urusan Wilayah PT Mayora Indah TBK, Indonesia, Maspiyono Handoyo.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat bagaimanapun yakin dengan barisan produk baharu terutama Kopiko LA Coffee dan Kopiko LA As You Like akan diterima pasaran berdasarkan sambutan positif yang diterima setakat ini.

"Tahun lalu, kami meraih jualan sebanyak RM93 juta dan tahun ini kami yakin dapat menambah baik prestasi jualan kepada lebih RM100 juta," katanya.

Bulan lalu, Inbisco memperkenalkan produk minuman kopi pracampuran rendah asid pertama di Malaysia iaitu Kopiko LA Coffee. Produk itu dikeluarkan Mayora, yang turut menawarkan pelbagai produk lain seperti gula-gula Kopiko Coffee, coklat Choki Choki, biskut kelapa Roma serta Danisa Butter Cookies.

Semua produk berkenaan mendapat kelulusan halal daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mayora adalah pengilang terkemuka dalam segmen Barang Pengguna Laris (FMCG) di peringkat global, terutama Indonesia. Ia mempunyai kemudahan pengeluaran dan lebih 5,000 pekerja republik itu. Syarikat itu turut mempunyai kemudahan pengeluaran pelbagai produk pengguna di Filipina, Thailand dan India.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kemasukan kopi segera Kopiko ke Malaysia agak lewat berbanding pengeluar lain, Kin Kok berkata ia bukan isu utama kerana jenama Kopiko sudah lama bertapak dan dikenali pengguna menerusi produk gula-gula.

Produk Kopiko di Malaysia menyumbang lima peratus kepada jualan Mayora, namun dengan pengenalan beberapa produk baharu terutama kopi segera rendah asid diunjurkan meningkatkan jumlah sumbangan jualan.

"Kami menyasarkan berada pada kedudukan lebih baik dengan penguasaan 15 peratus pasaran dalam tempoh  tiga tahun akan datang menerusi jenama kopi rendah asid Kopiko LA Coffee dan Kopiko LA As You Like," katanya.

Berita Harian X