Jumaat, 5 September 2014 | 5:07am

Sabah, Sarawak maju bersama Malaysia

Penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 adalah keputusan paling tepat dibuat pemimpin dan rakyat negeri itu. Sabah (dan Sarawak) menyertai Malaysia melalui Perjanjian Malaysia yang ditandatangani negeri terbabit dan penyertaan rasmi dimaktubkan melalui pelbagai dokumen termasuk Rang Undang-Undang Malaysia, iaitu Akta Malaysia 1963.

Gabungan dokumen itu termasuk syarat penyertaan dan peraturan perlembagaan Sabah dan Sarawak telah mengikat negeri terbabit untuk bersama dalam Persekutuan Malaysia seperti disebut dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah tanah air mencatatkan Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia secara paksa. Prosesnya bermula dengan perbincangan dan penyiasatan berhubung syarat sesuai bagi kedua-dua negeri itu menyertai Malaysia yang diadakan antara Mei 1961 dengan tarikh penubuhan Malaysia. Ia bagi menjamin kepentingan negeri terbabit.

Hasilnya pelbagai jawatankuasa dibentuk. Antaranya, Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Serantau di Singapura mewujudkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (MSCC) pada Februari 1962, dan sebuah suruhanjaya penyiasatan dibentuk pada Januari 1962, iaitu Suruhanjaya Cobbold yang dipengerusikan Lord Cameron Cobbold, bekas Gebenor Bank of England. Ahlinya ialah Tan Sri Wong Pow Nee dan Tun Muhammad Ghazali Shafie yang dilantik kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Antony Abell serta David Watherston mewakili Britain.

Tinjau pendapat penduduk

Tujuan utama suruhanjaya itu ialah meninjau pendapat penduduk Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Ia mendapati kira-kira 80 peratus penduduk negeri berkenaan menyokong penubuhan Malaysia. Suruhanjaya itu mencadangkan Perlembagaan Tanah Melayu yang ada dijadikan asas membentuk perlembagaan Persekutuan Malaysia baharu dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan mengambil kira beberapa kepentingan khas ngeri Borneo terjamin.

Akhirnya terbentuklah jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC) yang bertanggungjawab menyusun Perlembagaan Persekutuan yang baharu dan perlindungan khas untuk Borneo Utara dan Sarawak. Ia dipengerusikan Lord Landsdowne dan timbalannya ialah Tun Abdul Razak Hussein. Anggota lain ialah Tun Muhammad Fuad Stephens, Datuk Abang Mustaffa, Tun Temenggung Jugah, seorang wakil British dan seorang wakil Persekutuan Tanah Melayu. Beberapa jawatankuasa kecil turut dibentuk.

Sabah dan Sarawak turut mengkaji keperluan menyertai Malaysia dengan membuat beberapa tuntutan untuk menjaga kepentingan mereka. Tuntutan itu dikenali sebagai 20 Perkara Sabah dan ia adalah syarat-syarat Borneo Utara memasuki Malaysia. Kebanyakan syarat terbabit diterima dan dimasukkan dalam Perjanjian Malaysia.

Memorandum MSCC

Tuntutan 20 Perkara Sabah adalah memorandum MSCC yang diusulkan USNO, Parti UNKO United, Parti Demokratik dan United Pasok Momogun Organization. Mauduknya adalah perkara berkaitan perlindungan dan syarat Borneo Utara dan Sarawak menyertai Malaysia terutama dalam hal kebebasan agama, bahasa lain (selain Melayu), migrasi dan kepentingan Bumiputera.

Akhirnya, berasaskan laporan IGC, Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 8 Julai 1963 di London dan pada 16 September 1963 pembentukan Malaysia menjadi realiti.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PBB menghantar rombongan diketuai Lawrence Michaelmore ke Sabah dan Sarawak dari 16 Ogos hingga 5 September 1963 dan mendapati majoriti rakyat Sabah serta Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Namun, kelewatan laporan PBB menyebabkan pengisytiharan Malaysia yang dicadang diadakan pada 31 Ogos ditunda kepada 16 September 1963 iaitu dua hari selepas laporan siap.

Apa pun, Sabah sudah 51 tahun dalam Persekutuan Malaysia. Ketika merasmikan Sambutan 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, antara pengukur membuktikan pemimpin Sabah terdahulu membuat keputusan tepat menyertai Malaysia ialah setiap rakyat negeri itu merasakan mereka sebahagian keluarga besar Malaysia walaupun dipisahkan Laut China Selatan. Kini, selepas 51 tahun bersama Malaysia Sabah terus bergerak maju seiring kemajuan negeri lain dalam Malaysia.

Hakikatnya, penyertaan negeri itu dalam Malaysia mewujudkan landasan kukuh menjadikan Sabah sebuah negeri merdeka daripada penjajahan British. Kerajaan Persekutuan berjaya membawa Sabah maju selepas ia menyertai Malaysia daripada sebuah negeri yang mundur di bawah penjajahan British, Sabah secara bertahap, tetapi pantas bertukar wajah apabila mengalami kemajuan lebih pesat.

Ia menggambarkan semangat perkongsian yang diterapkan melalui Persekutuan Malaysia. Hasil perancangan bijak kerajaan, negeri itu mencatatkan transformasi membanggakan khususnya pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.

Berita Harian X