Isnin, 6 April 2015 | 7:43am
ANGGOTA penguatkuasa KPDNKK negeri bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melakukan pemeriksaan sempena Ops Catut GST di sekitar Kota Kinabalu. - Foto Erdiehazzuan Ab Wahid

Gempur habis-habisan peniaga ambil kesempatan

Selepas beberapa lama diperkatakan, akhirnya Malaysia melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu dengan kadar standard enam peratus. Pada masa sama beberapa jenis barang dan perkhidmatan adalah berkadar sifat, manakala beberapa jenis lagi dikecualikan GST.

Sebagai sistem percukaian baharu, ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pengguna dan tidak kurang kepada peniaga. Wartawan BH, AZRAN JAFFAR menemubual Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, bagi mendengar pemantauan dilakukan pihaknya bagi memastikan pengguna tidak dimanipulasi oleh peniaga yang cuba mengambil kesempatan dan ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman mengenai rungutan pengguna.

Datuk Seri Hasan Malek 

Wartawan: Bagaimana Datuk Seri melihat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada pada 1 April lalu. Dari segi pematuhan, bagaimana Datuk Seri melihatnya melalui beberapa pemantauan yang dilakukan?

Hasan: Secara umumnya dalam beberapa lawatan pemantauan dilakukan yang bukan saja di Semenanjung tetapi juga di Sabah,  saya lihat keadaan berjalan lancar kerana kita mendapat kerjasama sebaiknya bukan saja daripada petugas di Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menjadi tanggungjawab kita tetapi juga beberapa  agensi berkaitan. Saya sudah arahkan Pengarah Negeri membuat operasi begitu juga pihak Kastam Diraja Malaysia  (KDRM). Selain itu, saya juga meminta digerakkan jentera pemantauan membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain menggerakkan Skuad Pengguna yang mana paling tidak mereka memantau keadaan.

Kesimpulan yang dapat saya katakan ialah, kalau ada kerjasama daripada semua pihak, apa yang dihajati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, khususnya dalam  pelaksanaan GST dapat berjalan dengan baik dan lancar seperti yang kita harapkan. Pada 1 April, hari permulaan pelaksanaan GST kita melakukan pemeriksaan di 7,770 premis di seluruh negara membabitkan 17 jenis premis daripada pengilang dan pengeluar sehinggalah kepada pengedar, pemborong, peruncit, pasar raya besar dan peniaga di kedai makan, pasar basah dan di kawasan rehat dan rawat. Ini bermakna pemeriksaan yang dilakukan adalah menyeluruh.

S:Dalam soal pelaksanaan GST, rata-rata orang ramai faham mengenainya, bagaimanapun apa yang menjadi kerisauan adalah peniaga yang mengambil kesempatan. Bagaimana Datuk Seri melihat situasi ini?

J: Berhubung perkara ini, saya ingin mengingatkan pengguna supaya jangan membuat tuduhan secara umum. Orang cakap GST barang naik, tetapi dalam pemantauan yang saya lakukan ada juga barang yang turun harga dan kekal. Jangan  sengaja menimbulkan kerisauan kepada orang ramai. Apa yang ingin saya katakan, aduan penting. Bagi pengguna,  sekiranya keadaan ini benar berlaku, buat aduan kepada KPDNKK. Pelbagai kaedah yang kita buat untuk memudahkan  pengguna membuat aduan. Kita sememangnya melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan, tetapi bila aduan yang  spesifik kita akan pergi ke tempat berkenaan.

Sememangnya kita tidak mahu peniaga mengambil kesempatan daripada  pelaksanaan GST dan KPDNKK sendiri akan menentang mereka habis-habisan. Aduan daripada pengguna amat penting. Ia untuk memudahkan kita pergi ke tempat yang dinyatakan untuk mengambil tindakan dan pengguna harus memberi maklumat  yang lengkap dan tepat. Hanya peniaga yang berdaftar dengan KDRM saja yang dibenarkan  mengenakan GST. Bagi peniaga yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan, tindakan tegas akan diambil dan jika disabit  kesalahan, denda dan penalti yang berat akan dikenakan yang mana bagi orang perseorangan ialah denda sehingga  RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua  dan berikutnya.

Bagi pertubuhan, perbadanan atau syarikat pula dikenakan denda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua dan berikutnya. Tidak dinafikan, pada peringkat awal pelaksanaan GST terdapat kekeliruan dalam kalangan peniaga dan pengguna dalam urusan penjualan dan pembelian yang dijalankan. Bagaimanapun, untuk jangka panjang peniaga dan pengguna akan melihat kebaikan pelaksanaan GST dari segi pengurangan kos perniagaan dan peningkatan kadar kutipan cukai yang akan memberikan manfaat kepada rakyat.

S: Bagi memudahkan orang ramai KPDNKK ada membuka 'war room'. Apakah bentuk aduan diterima dan bagaimana Datuk Seri melihat sikap pengguna berhubung kemudahan ini?

J: Pada hari pertama pelaksanaan GST saya melihat 'war room' ini cukup sibuk dan menjelang petang ia kurang sedikit tetapi waktu malam ia kembali sibuk semula. Apa yang dapat saya katakan, telefon kita cukup sibuk. Saya ada membuat lawatan pada awal pagi dan ramai yang terus memberikan maklumat serta aduan pada waktu sebegitu.

Kebanyakan aduan diterima meliputi kenaikan harga barang dan perkhidmatan, juga pertanyaan mengenai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar standard enam peratus GST atau tidak dikenakan GST. Saya melihat kalangan pengguna dan peniaga menyambut baik 'war room' ini dan maklum balas diberikan semakin meningkat setiap hari.

 Medan ini disediakan bertujuan memberikan maklumat kepada rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan mengemukakan aduan kepada KPDNKK untuk tindakan penguatkuasaan. Aduan dan maklumat diterima diambil tindakan siasatan dan penguatkuasaan di bawah undang-undang dikuatkuasakan KPDNKK. Bagaimanapun, bagi aduan yang tidak termasuk di bawah bidang kuasa KPDNKK, ia akan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti KDM untuk tindakan.

S: Dari segi pemantauan, Datuk Seri sebelum ini menyatakan KPDNKK menempatkan 2,000 pegawai untuk memantau harga. Bagaimana pemantauan setakat ini, iaitu sebelum dan selepas GST dilaksanakan?

J: Seramai 1,300 Pegawai Pemantau Harga diberi tanggungjawab membuat pemantauan dan kutipan harga  barangan dan caj bagi perkhidmatan di 222 kawasan Parlimen seluruh negara. Kutipan harga ini meliputi 80 kategori  barangan dan perkhidmatan iaitu 5,000 hingga 10,000 barangan dan perkhidmatan yang menjadi pilihan utama pengguna.  Data maklumat harga ini digunakan untuk menyalurkan maklumat berkaitan perubahan kenaikan harga yang tidak munasabah  selepas pelaksanaan GST. 

Selain itu, kehadiran sejumlah 2,200 orang anggota penguat kuasa di seluruh negara juga bertindak membuat pemeriksaan, pemantauan dan penyiasatan di setiap jenis dan peringkat perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi  undang-undang dan peraturan sebelum dan ketika pelaksanaan GST. Sehubungan itu, KPDNKK melaksanakan Ops Catut bagi  memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan caj bagi perkhidmatan dan mengambil  keuntungan tinggi secara tidak munasabah. Peniaga yang didapati menaikkan harga barangan telah dikeluarkan notis untuk mendapatkan justifikasi dan penjelasan kenaikan harga.

Kegagalan peniaga mematuhi arahan dalam notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan serta maklumat atau dokumen yang ditentukan mengikut tempoh masa dan cara yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan. Sejak pelancaran Ops Catut pada 14 Februari 2015 hingga kini, di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sebanyak 286 notis dikeluarkan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan. Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka kerana kegagalan peniaga mengemukakan maklumat dan sebanyak tiga kertas siasatan dibuka kerana kesalahan mencatut.

S: Adakah Datuk Seri melihat jumlah 2,000 ini mencukupi atau mungkin akan ditambah dari semasa ke semasa dengan mengambil pihak tertentu untuk membantu seperti pelajar universiti dan wakil persatuan pengguna?

J: Jumlah penempatan 2,000 pegawai pemantau harga di seluruh negara sehingga kini adalah mencukupi dan akan dikaji semula mengikut keperluan. Berkenaan cadangan supaya tugas memantau diperturunkan kuasa kepada pelajar universiti dan wakil persatuan pengguna, ingin saya maklumkan bahawa KPDNKK sudah memberikan kuasa untuk membuat pemantauan kenaikan harga kepada semua 579 penghulu kampung dan penggawa. Sekiranya mereka mengesan berlaku sebarang kenaikan harga yang mendadak, mereka boleh melaporkan kepada pejabat KPDNKK dan turut bersama penguat kuasa KPDNKK turun membuat lawatan ke premis berkenaan.

Selain itu, sejumlah 202,808 orang Skuad Pengguna turut bertindak sebagai mata kerajaan untuk membuat pemantauan dan aduan kepada KPDNKK berhubung kenaikan harga dan mencatut oleh peniaga.  Apa pun bagi saya, yang penting ialah kualiti bukan kuantiti. Di KPDNKK saya melihat pegawai penguat kuasa saya adalah jenis kualiti yang baik yang sudah menjalankan tugas dengan cukup berkesan. Sebelum ini kita ada Ops Titik,  Ops Bongkar, Ops Harga dan pelbagai operasi lagi. Berdasarkan statistik operasi ini kita lihat situasi berhubung kawalan harga barang dan perkhidmatan adalah  bertambah baik.

S: Bagaimana pula Datuk Seri melihat Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723). Sejauh mana ia berkesan dalam menangani peniaga yang cuba mengambil kesempatan berikutan pelaksanaan GST?

J: KPDNKK telah dan sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Sehubungan itu, KPDNKK melaksanakan Ops Catut bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan harga barang dan caj bagi perkhidmatan dan mengambil keuntungan tinggi secara tidak munasabah. Pada 2 April lalu pula, kita melancarkan Ops Catut Fasa II dan Ops Pematuhan GST GST-Catut. Ia menitikberatkan pelaksanaan secara bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang mana turut membabitkan beberapa kementerian, antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ia juga untuk memastikan tidak ada penipuan, jangan nanti ada yang menyamar pegawai agensi tertentu membuat pemeriksaan dan menipu. Ia bermakna apabila kita turun membuat pemantauan dan operasi ia dalam keadaan yang lebih besar. Ia juga bermakna ada beberapa peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita perlu patuhi. Berhubung tindakan Ops Catut, ia diperhebatkan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014 dan menetapkan peniaga tidak boleh menaikkan margin keuntungan bersih barang dan perkhidmatan dalam tempoh yang ditetapkan mulai 2 Januari 2015 hingga 30 Jun 2016.

Peniaga yang dikesan menaikkan harga yang tidak munasabah akan diberikan notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan di bawah Seksyen 21 Akta mengenai punca kenaikan harga atau caj bagi perkhidmatan yang tidak munasabah di pasaran. Kegagalan peniaga mematuhi arahan dalam notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan serta maklumat atau dokumen tertentu mengikut tempoh masa dan cara yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan.

 Sepanjang pelaksanaan Ops Catut di seluruh negara sehingga kini, ia membabitkan 605,603 pemeriksaan dan menghasilkan  2,889 tindakan kes dengan jumlah rampasan bernilai  RM493,729.90 dan keseluruhan nilai kompaun RM338,716.  Dalam tempoh sama Ops Catut juga menghasilkan sejumlah 290 notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap peniaga yang cuba menaikkan harga barangan.

Kegagalan fahami penjelasan GST punca pengguna merungut

Datuk Dr Maamor Osman

S: Dalam tempoh lima hari pelaksanaan GST banyak aduan diterima kerajaan malah rungutan mengenai percukaian ini menjadi viral di media sosial. Mengapa perkara ini berlaku?

Dr Maamor: Ini terjadi kerana kegagalan memberikan penjelasan yang betul-betul difahami pengguna dan peniaga. Peniaga yang 'cekik darah' ini pula bertindak mengambil kesempatan atas ketidakfahaman penggunaan mengenai pelaksanaan GST. Aduan dan rungutan pengguna termasuk dalam media sosial membuktikan mereka memberikan maklum balas dengan GST. Justeru, pihak berwajib perlu mengambil langkah perbaiki keadaan dengan meningkatkan penguatkuasaan dan menggunakan semua peruntukan undang-undang sedia ada.

S: Adakah rungutan ini berlaku kerana pengguna dan peniaga sendiri tidak faham atau sengaja mengambil kesempatan?

J: Pada saya, pengguna memang kurang maklumat mengenai GST, mungkin kegagalan pihak berwajib menerangkan mengenainya. Jika ada sesi penerangan pun ia dijalankan secara rasmi dan ini tidak dapat difahami rakyat. Sepatutnya babitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan pengguna. Persatuan yang dekat dengan komuniti atau barisan kepemimpinan masyarakat seperti imam masjid dan ketua kampung, malah kepemimpinan di sekolah pun juga boleh dijadikan ejen penyampai. Dengan ada pembabitan pemimpin masyarakat, mereka lebih dekat dengan rakyat dan cara penyampaiannya mudah difahami pengguna. Peniaga pula sengaja mengambil kesempatan terutama yang tidak berdaftar untuk melaksanakan GST. Peniaga ini sengaja buat tidak faham kerana mereka mahu ambil kesempatan. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku dan kita sudah rujuk kepada pihak berkuasa. Jika rakyat faham, mereka sendiri boleh mencegah perkara ini daripada terus berlaku.

S: Apakah langkah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman dan penerimaan pengguna mengenai GST?

J: Kita syorkan adanya pihak ketiga seperti NGO untuk menerangkan apa sebenarnya GST. Rakyat biasanya lebih suka mendengar dan menerima maklumat daripada orang yang dekat dengan mereka. Kita sebagai persatuan pengguna sentiasa bersedia, malah melakukan secara sukarela untuk memberikan penerangan mengenai GST. Ada isu yang tidak pernah disentuh pun kita sudah terang dan bincangkan dengan pengguna. Pada masa ini, memang kita tiada kuasa menguatkuasa undang-undang, namun setiap aduan kita salurkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya. Di pihak berwajib pula, penerangan perlu ditingkatkan lagi dan jangan takut atau tidak tegas dalam menguatkuasa undang-undang. Pegawai penguat kuasa pula jangan fikir dengan GST ini sudah tercapai Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing. Jangan bekerja untuk mencapai KPI semata-mata, sebaliknya tingkatkan lagi usaha supaya percukaian baharu ini berjalan lancar dan diterima.

S:Apa reaksi awal ini membuktikan rakyat tidak puas hati dengan pelaksanaan GST atau sengaja untuk mengganggu gugat pelaksanaan GST?

J: Seperti saya katakan tadi, rakyat memberi maklum balas kerana rakyat ambil maklum pelaksanaan GST ini. Jika rakyat tidak responsif, maka kita tidak tahu mengenai perjalanan pelaksanaan percukaian baharu ini. Satu hari nanti rakyat akan menerima baik percukaian ini. Sekarang ini ada jaguh lain yang 'berkokok sekampung selepas bertelur sebiji' memberi maklumat salah mengenai percukaian ini. Saya percaya kerajaan ada banyak 'jaguh' yang boleh terangkan dan memberi maklumat tepat mengenai GST. Semua ini berpunca daripada kegagalan memberikan penerangan. Kerajaan menyasarkan mahu mengutip RM2 bilion dengan pelaksanaan cukai ini, maka apa salahnya gunakan 10 peratus untuk kempen penerangan yang membabitkan NGO dan pemimpin masyarakat tadi. Saya rasa ia berbaloi dan lebih berkesan. Satu lagi pembabitan media massa sangat penting begitu juga media sosial. Pihak yang berkenaan perlu ada kerjasama dan hubungan yang baik dengan media massa kerana mereka dapat dan mampu menyalurkan kepada pengguna. Gunakan kuasa media.

S:Bagaimana pengguna boleh menggunakan kuasa mereka dalam isu GST?

J: Inilah masa yang sesuai pengguna menggunakan kuasa mereka untuk menentang peniaga yang mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh. Jika pihak berkuasa tidak mampu menanganinya, pengguna sendiri ada kuasa yang boleh mengajar peniaga ini. Dalam isu ini, pertama sekali pengguna perlu memastikan peniaga melaksanakan GST atau tidak, berdaftar atau tidak. Ini boleh dilihat melalui resit yang dikeluarkan peniaga berkenaan. Dalam resit itu ada nombor pendaftaran dan jika tiada laporkan kepada pihak berkuasa. Pengguna jangan takut untuk gunakan kuasa dan hak masing-masing.

Berita Harian X