Ahad, 5 April 2015 | 12:09am

Misteri Tasik Biru Kundang


PENDUDUK setempat menghabiskan cuti hujung minggu dengan pelbagai aktiviti di Tasik Biru, Kundang. - Foto Saddam Yusoff

SEBUT saja Tasik Biru Kundang pasti ramai membayangkan tasik terbabit digenangi air berwarna biru dan sekali gus memukau sesiapa yang memandangnya hingga merasakan diri seolah-olah berada di lautan.

Itu cerita dahulu, sekitar tahun 1950-an apabila air tasik bekas melombong bijih timah dan air di keseluruhan tasik sebesar 58 ekar digenangi air berwarna biru dan jernih hingga menampakkan dasar lombong pada kedalaman empat hingga enam meter.

Kejadian air berwarna biru berlaku akibat hamparan pasir putih yang dibiaskan oleh awan membiru dan tidak hairanlah lombong yang dahulunya air biru ditukar kepada Tasik Biru dan nama itu kekal hingga hari ini.

Sebenarnya Tasik Biru yang terletak di Kampung Setia, Kundang, Selangor di bawah seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempunyai kisahnya tersendiri, iaitu daripada bekas lombong terbiar hingga hari ini menjadi pusat rekreasi dan lokasi penggambaran drama atau filem tempatan Ahli Jawatakuasa Komuniti Persekutuan (JKKKP) Kampung Setia, Isa Mohd Yunus, 66, yang juga penduduk asal kampung ini, mengakui tasik itu ada cerita tersendiri.


PENDUDUK setempat menghabiskan cuti hujung minggu dengan pelbagai aktiviti di Tasik Biru, Kundang. - Foto Saddam Yusoff

Isa berkata, Tasik Biru diberi nama sempena airnya berwarna kebiruan dan fenomena air biru itu berlaku sekitar 1950 hingga 1965 sejurus kerja melombong diberhentikan oleh pelombong Cina.

Sebelum diberikan nama Tasik Biru, mereka menamakan lombong ini sebagai lombong tembak iaitu sempena kerja melombong bijih timah menggunakan pancutan air kuat atau tembak bijih timah.

Apabila kerja melombong diberhentikan, air di tasik ini meningkat naik sedikit demi sedikit yang ketika itu hampir sampai ke tebing dan terdapat sebuah pulau tidak mempunyai nama terletak di tepi lombong yang dipercayai terhasil dari timbunan batu kerja melombong bijih.

"Tasik ini ketika itu sangat dalam dan anggaran kedalaman mencecah 200 kaki dan diceritakan lori sebesar kotak mancis boleh dilihat dari tebing lombong ketika kerja melombong bijih timah di situ," katanya sambil menambah lombong ini kerap menjadi 'taman tema' untuk bermandi-manda bersama rakan-rakan kampung ketika berusia belasan tahun dulu.

Sebelum menemui Isa, penulis meninjau tasik berkenaan dan melihat air tasik terbabit berwarna hijau jernih dan persoalan itu diajukan kepada Isa dan beliau memberitahu dasar lombong terbabit ketika hari ini digenangi alga hijau yang menyebabkan air sekarang berwarna sedemikian.

Walaupun begitu, airnya tetap jernih dengan hamparan pasir putih dan tidak hairan ia menjadi pilihan pengunjung dalam dan luar kawasan ini menjadikan tasik ini pusat riadah keluarga, bermain jet ski atau memancing ketika hujung minggu atau hari biasa.


PENDUDUK setempat menghabiskan cuti hujung minggu dengan pelbagai aktiviti di Tasik Biru, Kundang. - Foto Saddam Yusoff

Meskipun Tasik Biru ini memukau panorama cantik ketika matahari terbenam, tetapi, awas, kerana tasik ini sudah mengorbankan 46 nyawa yang bermandi-manda atau melakukan aktiviti rekreasi di dalam tasik ini. Terbaharu pada tahun 2013, seorang pemain jet ski dilaporkan terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan dalam tasik ini.

Maka, muncul kisah misteri yang menurut cerita penduduk tempatan, mereka pernah menemui ikan toman sebesar kanak-kanak berusia lima tahun. Ikan itu pernah mencederakan seorang remaja yang sedang mandi berhampiran pulau itu.

Kisah misteri lain, penduduk mendakwa mereka pernah menemui wanita berambut panjang mengurai terbang melintasi tasik ini dan beberapa makhluk halus yang menyerupai binatang berlegar-legar di sekitar tasik ini ketika waktu Maghrib hingga ke tengah malam.

INFO

Bagaimana ke sana?

- Sama ada dari arah selatan atau utara, anda boleh masuk susur keluar Tol Sungai Buluh dan seterusnya menuju ke Bandar Sungai Buloh -Kuala Selangor.

- Seterusnya, laluan jejantas dari arah kiri teruskan perjalanan hingga jumpa lampu isyarat pertama berdekatan Bukit Rahman Putra dan kemudian selepas stesen minyak Petronas hingga jumpa lampu isyarat kedua, belok kiri dan jalan terus hingga jumpa lampu isyarat ketiga.

- Jalan terus hingga ke Kampung Setia atau Tasik Biru terletak di sebelah kiri.

Berita Harian X