Ahad, 5 April 2015 | 12:06am
REBECCA Ilham semasa majlis meraikan Sutung Umar RS melalui Ratib Kalbu di Wisma Institut Terjemahan dan Buki Malaysia di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
POKOOK karya Witer Gunik.

Nasib karya sastera Melayu


TAHUN 2014 dianggap tahun sunyi untuk karya sastera yang baik di sebalik lambakan novel popular. - Foto hiasan

JIKA tahun 2013 menyaksikan banyaknya novel sastera baik terhasil daripada sayembara penulisan ditambah kebanyakan syarikat penerbitan menerbitkan lebih senaskhah buku setiap bulan, tahun 2014 kelihatan 'sunyi' dengan karya yang bagus.

Di sebalik banyak novel diterbitkan fakta yang tidak boleh ditolak kebanyakannya ialah novel popular dengan sebahagian besar mengangkat tema dan judul yang klise, selain digarap dengan gaya serta langgam yang hampir sama.

Meskipun banyak karya popular cuba lari daripada itu, persoalan cinta dalam konteks hampir sama masih melingkarinya, manakala genre seram dan thriller menjadi pilihan beberapa pengarang yang memecah dominasi Ramlee Awang Murshid.


NOVELIS, Ramlee Awang Murshid.- Foto Kamarulzaman Ariffin

Sementara bagi novel sastera, kebanyakan pengarang seakan-akan 'menyimpan' karya terbaik untuk sayembara yang melabuhkan tirainya pada tahun ini seperti Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH yang bakal diumumkan pada 24 April ini dan Sayembara Novel Sejarah.

Malah, terdapat sebahagian manuskrip yang sudah dinobatkan memenangi hadiah sastera pada tahun lepas, gagal diterbitkan pada tahun penganugerahannya.

Hal itu menyebabkan kurangnya novel baik dan cemerlang diterbitkan sepanjang tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimanakah naskhah yang akan diangkat juri pada hujung tahun ini menerusi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).


PENULIS, Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy. - Foto Zunnur Al Shafiq

Gagal sampai kepada pembaca

Apakah ada kemungkinan novel yang baik sebenarnya ada diterbitkan tetapi 'gagal' sampai kepada pembaca berikutan kurangnya pemasaran dan publisiti disebabkan tiada majlis pelancaran, hebahan atau diskusi?

Atau mungkinkah juga pembaca Malaysia terlalu 'memilih' dengan mengehadkan naskhah pengarang atau syarikat penerbitan tertentu kerana tidak mahu membazirkan wang untuk membeli karya pengarang yang tidak dikenali?

Agak sukar sebenarnya untuk menyenaraikan novel sastera terbaik pada tahun lalu yang boleh dianggap karya berpotensi untuk mengungguli HSPM atau sekurang-kurangnya menjadi saingan pada penobatan anugerah sastera tanah air itu.


PENULIS, Nisah Haron. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Penulis yang juga pengasas Grup Karyawan Luar Negara (GKLN), Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy mengakui kebanyakan buku yang berada dalam senarai bacaannya tahun lalu adalah terbitan tahun sebelumnya, iaitu 2013.

"Karya yang terbit sepanjang tahun lalu secara umumnya tidak ada yang benar-benar bermutu atau mengesankan," katanya.

Hal sama dialami oleh penulis, Nisah Haji Haron yang mendedahkan pembacaannya bercampur antara terbitan tahun 2013 dan 2014, manakala senarai buku tahun lalu pula memperlihatkan kurangnya novel yang mengangkat citra Melayu.


PENULIS, Hazwani Rameli atau Rebecca Ilham

Nasib kumpulan cerpen

Bagaimanapun, genre kumpulan cerpen berbeza seperti yang dikongsi oleh Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ariff Mohamad dan jurutera, Hazwani Rameli atau lebih dikenali sebagai Rebecca Ilham.

Bagi Ariff, lima judul buku yang diterbitkan pada tahun 2014 yang bakal menjadi pesaing pada HSPM tahun ini ialah Boneka Russia Guido karya Wan Nor Azriq; Luka Nering (Malim Ghozali Pk); Balai Maqamat (Mohamad Affandi Hassan); Empunya Hikayat (Zainal Rashid Ahmad) dan Pokook (Witer Gunik).

"Karya itu menarik perhatian dengan kualiti universal sehingga setiap satu ada kekuatan tersendiri termasuk Balai Maqamat yang mencipta kontroversi tersendiri tetapi ada tarikan kuat dan cenderung mengangkat gagasan persuratan baharu.

"Sentuhan teknik dan isu Wan Nor Azriq pula ada kelainan, manakala Luka Nering sangat menarik kerana kisahnya berlatarkan sejarah Perak yang bermula Perjanjian Pangkor, boleh dianggap naskhah berani Malim," katanya.

Paling menarik, kata Ariff, ialah Empunya Hikayat yang dihasilkan oleh pengarang yang terkenal dengan sentuhan realisme magis dengan olahan sangat memukau berdasarkan gaya persembahan bersahaja dan latar belakangnya sebagai wartawan.

Pandangan itu dipersetujui Rebecca Ilham yang menyifatkan Empunya Hikayat sebagai buku terbaik tahun 2014, selain Pantai Ini Lautnya Dalam karya Abdul Razak Panaemalae; Balai Maqamat dan Boneka Rusia Guido.


EMPUNYA Hikayat karya Zainal Rashid Ahmad. - Foto Nik Hariff Hassan

Kukuhkan kedudukan realisme magis

"Kumpulan cerpen Zainal Rashid itu memuatkan karya mutakhir yang memperlihatkan ketekalan pemikiran pengarang dalam mencerna dan mengungkapkan permasalahan bangsanya mendepani cabaran kontemporari.

"Tanpa berkompromi dalam aspek kreativiti, karya mutakhir ini mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pelopor dan pengamal aliran realisme magis Melayu," katanya.

Beliau turut menyifatkan Balai Maqamat sebagai karya yang wajar diteliti untuk mengamati sejauh mana kekuatannya sebagai karya bermanfaat seperti yang digariskan oleh prinsip gagasan Persuratan Baru.

"Secara keseluruhannya, penerbitan karya sastera yang baik sepanjang tahun 2014 adalah mengecewakan. Semoga pada tahun 2015, kita tidak akan sekadar bangga dengan kuantiti, tetapi mengutamakan kualiti," katanya.

Pokook karya Witer Gunik.

Berita Harian X