Khamis, 2 April 2015 | 8:46pm

UMW Toyota Motor perkenal Camry Hibrid


Toyota Camry Hibrid baharu yang dijual pada harga atas jalan termasuk insurans dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM174,900. - Foto Mohd Yusni Ariffin

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor), anak syarikat UMW Holdings Bhd (UMW Holdings), memperkenalkan model Camry Hibrid baharu yang dijual pada harga atas jalan termasuk insurans dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM174,900.

Kereta hibrid pertama Toyota dengan pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan pada harga mampu milik, tetapi didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan baharu seperti tujuh beg udara, pemantauan sudut, sistem pengawasan trafik belakang (Rear Cross Traffic Alert), kawalan kelajuan, Nano-e serta sistem pembersihan udara yang membersihkan udara daripada ions negatif.

Selain ditawarkan dengan teknologi terkini, Camry Hibrid juga menjangkaui aspek prestasi menerusi enjin 2.5 liter 4-silinder DOHC dengan VVT-i dan ACIS yang mampu menjana lebih 200 kuda kuda (hp) dan kilasan 270Nm.

Ia turut dipadankan dengan sistem transmisi Electronically Controlled Continuosly Variable Transmission (E-CVT) yang turut membantu menjimatkan bahan api dengan lebih baik.


Toyota Camry Hibrid. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Selain itu, Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist) yang ada pada varian hibrid, mempunyai keupayaan untuk mengelak kereta berundur ketika berada di atas permukaan curam, manakala ABS dan EBD sebagai sistem standard.

Malah, model hibrid yang menggunakan antara 25 peratus hingga 30 peratus kandungan tempatan itu juga menawarkan rekaan baharu dinamik yang menyerlahkan gaya sporty dan berteknologi terkini termasuk lampu LED, rim aloi 17 inci dan pengelap cermin depan automatik dengan sensor hujan.

Aspek dalaman pula, Camry Hibrid antara lain menawarkan kombinasi meter rekaan tiga dimensi, paparan pelbagai maklumat pada skrin 4.2 inci, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem DVD-AVN serta sistem 10 pembesar suara JBL.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki, berkata UMW Toyota Motor menyasar untuk menjual 7,000 unit Camry Hibrid menjelang akhir tahun, mewakili 80 peratus daripada 9,000 unit jualan yang disasarkan bagi keseluruhan barisan model Camry tahun ini.

Katanya, syarikat itu optimis untuk mencapai sasaran jualan itu bersandarkan harga penawaran lebih murah tetapi ditawarkan dengan teknologi dan ciri keselamatan yang terkini.

"Kami yakin Camry Hibrid mampu melakukan sesuatu yang hebat di pasaran domestik. Jumlah jualan 7,000 daripada 9,000 unit yang disasarkan adalah realistik dan dapat dicapai bersandarkan peningkatan kesedaran pengguna kepada kenderaan mesra alam, menjimatkan bahan api dan prestasi lebih baik.

"Berpaksikan kepada keyakinan ini juga, kami akan memberi tumpuan kepada pengeluaran Camry Hibrid dan tiada lagi keperluan untuk memperkenalkan varian 2.5 versi petrol buat masa ini," katanya kepada media selepas majlis pelancaran barisan model baharu Camry di Petaling Jaya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama; Timbalan Ketua Jurutera UMW Toyota Motor, Toshihiro Nakaho; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Syed Hisham Syed Wazir.

UMW Toyota Motor melabur hampir RM180 juta dari tahun 2010 hingga tahun 2015 bagi projek CKD Toyota Camry merangkumi varian hibrid dan Toyota Camry 2.0 liter di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Shah Alam, yang juga adalah anak syarikat UMW Holdings.

Mengulas mengenai insentif untuk kereta hibrid, Ismet berkata, UMW Toyota Motor menjalinkan kerjasama rapat dengan kerajaan bagi membincangkan perkara itu dan yakin kerajaan akan membuat penilaian rapi tentang hala tuju segmen kenderaan berkenaan.

"Kami percaya kerajaan amat memahami keperluan pengeluar kereta hibrid kerana dengan pelaburan besar yang sudah dibuat, pulangan tidak akan diperoleh dalam tempoh masa setahun," katanya.

Ismet berkata, model Camry Hibrid yang kini boleh didapati rangkaian pengedar di seluruh negara mulai hari ini dijual pada harga kira-kira RM250,000, jika tanpa insentif daripada kerajaan.

Selain Camry hibrid, UMW Toyota Motor turut memperkenalkan dua lagi varian Camry iaitu 2.0G dan 2.0E yang masing-masing dijual pada harga atas jalan termasuk insurans dan GST RM159,900 dan RM149,900.

"Camry baharu ini ditawarkan pada harga RM149,900 hingga RM174,900. Sebagai tambahan, kami menawarkan program jaminan lapan tahun untuk bateri hibrid selain jaminan standard kenderaan tiga tahun atau 100,000 kilometer untuk semua model Camry termasuk hibrid," katanya.

Berita Harian X