Rabu, 1 April 2015 | 2:18pm
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Wahid jelaskan tujuan, pelaksanaan GST

KUALA LUMPUR: Tujuan asal pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan Malaysia hanya ada dua juta pembayar cukai berbanding jumlah rakyat 28 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) di mana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan yang berpendapatan lebih, selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang menjelang 2020.

"Dengan peningkatan pendapatan kerajaan, kita bukan saja dapat mengurangkan defisit fiskal, malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa dan kemudahan orang ramai.

"Malah sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula mulai hari ini sebanyak 6 peratus adalah kadar yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Wahid turut menegaskan GST 6 peratus menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus, menunjukkan GST bukanlah cukai tambahan.

Malah untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali dari GST.

Katanya, ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging dan ikan termasuk ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 dan Diesel.

Berdasarkan pengiraan Kementerian Kewangan, kesan GST terhadap kadar inflasi adalah peningkatan sebanyak 1.1 peratus.

Beliau berkata, memandangkan kadar inflasi sekarang adalah pada kadar 1 hingga 2 peratus, purata kadar inflasi untuk tahun 2015 dijangka sekitar 3 peratus, satu kadar berpatutan dan antara kadar terendah di rantau ini.

Malah, katanya, ada harga barang dan perkhidmatan yang turun seperti harga kereta yang turun 2 hingga 3 peratus seperti dilaksanakan Proton yang menurunkan harga sehingga RM1,475 seunit.

Kerajaan juga telah mengumumkan langkah pengimbangan seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1 hingga 3 peratus, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25 peratus kepada 24 peratus dan pengurangan cukai perusahaan kecil dan sederhana dari 20 peratus kepada 19 peratus serta peningkatan pemberian BR1M masing-masing kepada kepada RM950 dan RM750.

"Ada peniaga yang merungut tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persediaan GST. Sebenarnya masa 17 bulan yang diberikan adalah munasabah dan mencukupi.

"Mereka yang masih tidak bersedia kebanyakannya berlengah pada peringkat permulaan dan yang sengaja mengharapkan agar GST tidak dilaksanakan kerana dengan adanya GST, adalah lebih sukar untuk mengelak dari membayar cukai pendapatan.

"Seperti mana-mana pelaksanaan baru, pasti akan ada isu-isu pelaksanaan (teething problems) di peringkat awal. Maka Kerajaan juga telah mewujudkan GST hotline Jabatan Kastam: 1300888500 dan KPDNKK 1300886800," katanya.

Berita Harian X