Khamis, 4 September 2014 | 1:47pm

CFO Amazon berundur tahun depan

NEW YORK: Syarikat e-dagang global, Amazon.com Inc (Amazon) mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) akan bersara tahun depan selepas 12 tahun dengan syarikat itu.

Keputusan itu mungkin dikaitkan dengan rungutan pelabur yang khuatir dengan penyusutan keuntungan dan perbelanjaan tinggi syarikat itu.

Mengikut Amazon, Thomas Szkutak, 53, akan bersara pada Jun 2015 dan akan digantikan Naib Presiden Kewangan Perniagaan Pengguna Global, Brian Olsavsky.

Peralihan berkenaan berlaku selepas syarikat yang berpangkalan di Seattle itu mengumumkan perjanjian terbesarnya bagi membeli rangkaian permainan dalam talian, Twitch Interactive bernilai AS$970 juta (RM3.081 bilion) untuk mengukuhkan saingannya dengan Google Inc.

Pengambilalihan itu menunjukkan bagaimana Amazon berkembang secara mendadak ketika dipimpin Szkutak, daripada syarikat peruncit dalam talian kepada perniagaan baharu membabitkan rancangan televisyen, perkakasan dan perkhidmatan tempatan.

"Szkutak dan Olsavsky akan bekerjasama bagi melaksanakan peralihan tanggungjawab CFO dalam tempoh 10 bulan akan datang," menurut Amazon dalam kenyataannya.

Saham Amazon merosot 15 peratus ketika ini susulan beberapa pelabur dan penganalisis menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan Ketua Pegawai Eksekutif, Jeff Bezos untuk berbelanja besar bagi projek baharu.

Syarikat itu juga menghadapi persaingan sengit dari Alibaba Group Holding Ltd yang mengendalikan lebih banyak transaksi peruncitan dalam talian berbanding penggabungan syarikat antara Amazon dan eBay Inc di China. - Reuters

Berita Harian X